Gergasi Asia lawan Harimau Muda

Christopher sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya sepanjang menjalani latihan dan aksi persahabatan di Dubai.
Christopher sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya sepanjang menjalani latihan dan aksi persahabatan di Dubai.
A
A
A

SKUAD bola sepak Bawah 17 (B-17) tahun negara akan terus mengasah taring mereka sebelum menghadapi saingan Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai depan.

Pengurus skuad B-17 negara, Christopher Raj berkata, dua gergasi Asia iaitu Uzbekistan dan Arab Saudi akan menjadi lawan anak-anak buahnya selepas mereka menjalani kem latihan pusat di Jakarta, Indonesia.

“Mengikut perancangan, skuad negara akan menjalani latihan pusat di Jakarta dari 27 Mei hingga 3 Jun dan kemudiannya kembali menyambung latihan di sini (Malaysia).

“Pada 6 dan 8 Jun, skuad negara akan menentang Uzbekistan sebelum bertemu Arab Saudi pada 9 Jun. Kedua-dua pasukan itu juga dalam persiapan menghadapi Piala Asia di Bangkok.

“Jadi, aksi persahabatan menentang dua pasukan gergasi Asia itu menjadi medan penilaian terakhir sebelum kita membawa 23 pemain ke Bangkok,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Skuad kendalian Osmera Omaro itu baru selesai menjalani kem latihan Fasa 2 melibatkan seramai 25 pemain yang dibawa ke Qatar untuk berdepan enam aksi persahabatan.

Pada saingan di Bangkok nanti menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan tuan rumah, Thailand, selain Laos dan Yemen.

Skuad Harimau Muda diletakkan sasaran layak ke separuh akhir bagi membolehkan mereka beraksi di pentas Piala Dunia B-17 pada hujung tahun ini.

“Selepas mengharungi latihan dan aksi persahabatan di Dubai, saya lihat pemain-pemain cukup bersemangat untuk merebut tempat mereka dalam pasukan.

“Lebih menggembirakan saya apabila melihat karakter mereka yang sentiasa inginkan kemenangan.

“Ini satu petanda yang cukup positif,” jelas Christopher.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!