Dulu penjual besi buruk, kini popular di TikTok
TEMERLOH - Dulu dia sanggup tebalkan muka mencari dan menjual besi buruk demi mencari rezeki, kini kehidupan seorang gadis berubah sekelip mata menjadi pempengaruh di TikTok sekali gus mampu merubah kehidupannya menjadi lebih baik.
Nur Faiza Izzati Azmi, 21, dari Kampung Lebak Seberang atau lebih dikenali dengan nama Lizzyizzatyy kini memiliki lebih 207,000 pengikut di platform tersebut sejak mula aktif berkarya pada tahun lalu.
Selain itu, gadis tersebut turut berkarya dan aktif di platform digital lain seperti YouTube dan Instagram.
Loghat Pahang khususnya Temerloh yang digunakan dalam setiap videonya nyata mendapat perhatian peminat yang tertarik dengan lenggok digunakan selain personalitinya.
Menceritakan pengalaman hidupnya, anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, bapanya, Azmi Ariffin, 57 dan abangnya, Amirul Asyraaf, 29, merupakan tulang belakang di balik tabir untuk membina keyakinan diri.
“Jujurnya, saya sebenarnya sangat pemalu depan kamera, memang payah mulanya untuk cuba bercakap tapi ayah banyak bagi semangat untuk mencuba selain membantu mencari idea dan peralatan sesuai.
“Saya bermula dengan kandungan mengikut trend yang terkini kemudian ayah cakap kenapa tak buat kandungan memasak juadah dan kuih tradisional kerana mahir menyediakan menu tersebut.
“Jadi, saya buat dan bermula dengan video buat donat, ia meletup hingga mendapat tontonan 1 juta dari situ terus berkarya hingga kini,” kata remaja tersebut.
Ujar gadis itu, sebelum ini dia pernah menjual besi buruk demi meneruskan kehidupan.
“Nak kerja dengan orang lain, saya sedikit sukar kerana sangat pemalu jadi memang tebalkan muka juga tapi saya redah demi mencari rezeki.
“Kini, saya tak buat lagi dan bersyukur kerana keputusan untuk aktif di TikTok banyak membantu keluarga malah berjaya dapatkan kereta baharu untuk ayah,” tambah Izzati.
Kini, bakat dan kebolehan Izzati itu mula mendapat perhatian apabila mendapat tawaran membuat ulasan produk, lokasi dan premis makanan khususnya di sekitar Temerloh dan luar daerah tersebut.
“Saya mula berani bercakap selepas pertama kali membuat review mengenai lokasi-lokasi menarik di Temerloh. Setakat ini, sudah 48 buah premis telah saya buat ulasan,” katanya.
Ditanya mengenai masa depan, dia berkata, langkah berjimat cermat amat perlu dilakukan.
“Lagipun saya sudah pernah hidup susah sebelum ini,” jelas Izzati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!