Che Nah reda, sambut Aidilfitri tanpa anak-anak
GEORGETOWN - Hanya kerana tertumpah air minuman di atas meja makan, hidup Che Nah (bukan nama sebenar) bertukar 360 darjah apabila dia dihina dan diherdik oleh anak kandungnya sendiri tanpa belas kasihan.
Lebih memilukan, menantunya sendiri telah menuduh Che Nah mencuri wang di dalam dompetnya sehingga berlaku pertengkaran dalam keluarga tersebut.
Selepas peristiwa pada tahun 2017 itu, suri rumah yang kematian suami itu terus merajuk hati lalu keluar dari rumah anak ketiganya tersebut.
Che Nah yang berasal dari Manjung, Perak, berkata, sejak kematian suami pada tahun 2015, dia tinggal bersama anak perempuannya yang ketika itu belum berumah tangga.
Kata wanita itu, hasil perkongsian hidup dengan arwah suaminya, mereka dikurniakan empat cahaya mata yang mana, anak lelaki sulungnya telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada awal tahun 2016.
“Saya dan suami ada empat anak, tiga lelaki, seorang perempuan. Anak sulung sudah meninggal, anak lelaki kedua dan keempat tak tinggal di Perak, mereka ikut isteri masing-masing. Saya pun tidak tahu mereka di mana.
“Selepas suami meninggal, anak perempuan ketiga tinggal bersama saya kerana belum berkahwin. Selepas berkahwin, dia minta kebenaran untuk tinggal dengan saya buat sementara waktu sehingga ekonomi keluarganya stabil.
“Bagaimanapun, sikap anak perempuan saya berubah selepas bersalin anak sulung. Dia cepat marah, maki saya, herdik saya di hadapan orang ramai tanpa menghiraukan perasaan saya,” katanya ketika ditemui di Masjid Kapitan Keling di sini.
Menurut Che Nah, anak perempuannya itu mula mengungkit kisah lama dan sering berkira dari segi perbelanjaan harian.
“Arwah suami kerja kampung saja, memang tak ada harta yang dia tinggalkan untuk saya kecuali rumah yang saya tinggal itu. Oleh itu, saya memang mengharapkan anak saja.
“Saya tidak minta apa-apa pun, cukup lah makan minum saya setiap hari, tetapi anak kata saya membebankannya dan suami,” ujarnya sedih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!