Pekebun bergelut cari modal lepas banjir

Mohd Nasir menunjukkan pokok ubi kayu yang rosak akibat banjir pada bulan lalu.
Mohd Nasir menunjukkan pokok ubi kayu yang rosak akibat banjir pada bulan lalu.
A
A
A

APA Khabar Rakyat kali ini melaporkan berkenaan pekebun sayur di sekitar Simpang Renggam, Kluang, Johor yang menanggung kerugian besar selepas tanaman mereka musnah dilanda banjir kilat.

Keadaan menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini, apabila hasil yang sepatutnya dituai pada bulan lalu, musnah akibat banjir menyebabkan pekebun terpaksa bergelut mencari modal untuk menanam semula sayur.

Wartawan Sinar Harian, NOR AZURA MD AMIN cuba menyelami masalah tersebut melalui tinjauan di sekitar Kampung Sungai Linau dan Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam.

Pekebun Mohd Zaki Md Fadil, 43, berkata, kerugian hampir RM20,000 akibat banjir pada awal bulan lalu memberi kesan kepadanya untuk memulakan projek pertanian baharu.

Dia yang mengusahakan tanaman kacang panjang di atas tanah seluas 1.6 hektar di Kampung Sungai Linau berkata, walaupun banjir kerap berlaku sebelum ini, namun kejadian pada Mac lalu, lebih buruk.

“Biasa banjir awal dan akhir tahun, tetapi kali ini berbeza, bulan Mac pula banjir. Ketika itu, kacang panjang sudah ditanam dan menunggu masa matang sahaja.

“Sepatutnya sudah boleh tuai hasil dalam tempoh 55 hari, tetapi banjir besar menyebabkan kacang panjang mati dan tidak boleh dituai,” katanya.

Mohd Zaki memerlukan modal yang tinggi untuk memulakan semula projek tanaman kacang panjangnya.
Mohd Zaki memerlukan modal yang tinggi untuk memulakan semula projek tanaman kacang panjangnya.

Mohd Zaki yang sudah 13 tahun menjadi pekebun berkata, untuk tanam semula kacang panjang, dia memerlukan modal yang besar berikutan harga baja dan benih mahal ketika ini.

“Tidak boleh tunggu lama, kerana ini punca rezeki saya untuk keluarga dan tiga orang anak yang masih kecil.

“Saya perlu segera kumpul wang dan mulakan aktiviti penanaman sayur.

“Jadi saya ambil upah bekerja di ladang penduduk. Dari situ saya peroleh upah dan kumpul sedikit demi sedikit untuk tanam semula kacang panjang. Duit selebihnya digunakan untuk menyara keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaki berkata, pihak kerajaan seharusnya memberi perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi oleh pekebun-pekebun sayur sepertinya dengan menyalurkan segera peruntukkan.

MOHD ZAKI
MOHD ZAKI

“Saya cuma harap kerajaan dapat segera salurkan bantuan kepada pekebun sayur terutama yang terjejas akibat banjir ini.

Sementara itu, seorang pekebun, Mohd Nasir Jamion, 56, berkata, banjir pada bulan lalu merosakkan hampir 20,000 pokok ubi kayu yang ditanam di atas tanah seluas kira-kira 1.6 hektar.

Ujarnya bapa kepada enam orang anak itu, dia mengalami kerugian hampir RM70,000 memandangkan ubi kayu sudah mencapai tempoh matang untuk dituai dan dijual kepada pemborong.

“Air banjir setinggi satu meter merosakkan semua tanaman ubi kayu yang saya usahakan.

“Paling saya sedih ialah hampir empat tan ubi kayu yang sudah boleh dituai, telah rosak,” katanya yang bergantung harap kepada hasil pertanian untuk bagi menyara keluarganya.

Mohd Nasir berkata, kebun ubi kayu yang diusahakan sejak lapan tahun itu terletak hanya 500 meter dari Sungai Linau.

“Memang Sungai Linau sudah ditambah baik, tapi sebab hujan luar biasa turun pada bulan lepas dan menyebabkan banjir berlaku.

“Tetapi walau apa pun yang terjadi saya tetap akan teruskan juga tanaman ubi kayu di sini.

“Kalau hendak pindah ke tempat lain, mana ada tanah lain lagi, di sinilah tempat saya bercucuk tanam sejak dari dulu,” katanya.

Justeru, dia mengharapkan agar bantuan segera dapat diberikan memandangkan kos lebih tinggi perlu ditanggung disebabkan harga anak benih, racun dan sebagainya semakin mahal.

Fertigasi berpangkin elak kerugian petani ketika banjir

Sementara itu, Ketua kampung Ithnin Maarof, Bachik Pait berkata, terdapat sekurang-sekurangnya 20 pekebun yang terbabit dengan penanaman sayur yang berdepan kerugian akibat banjir pada awal bulan lalu.

Beliau yang turut mengusahakan tanaman keledek, cili dan nanas mengakui masih lagi trauma untuk memulakan projek tanaman baharu kerana bimbang banjir akan berulang dalam masa terdekat.

“Sudah lebih 40 tahun, saya bergelar pekebun. Banjir bulan lepas antara yang terburuk selepas banjir besar pada tahun 2006.

“Pokok cili yang ditanam secara fertigasi di dalam 1,500 polibeg, rosak akibat banjir. Kerugian dianggarkan mencecah RM15,000,” katanya.

Ujar Bachik, sistem fertigasi dalam penanaman sayur-sayuran seperti cili padi dan terung dilihat memberi hasil lumayan namun tetap berdepan masalah ketika banjir.

“Saya ada berhubung dengan jabatan pertanian dan mencadangkan agar fertigasi secara berpangkin atau diletakkan di tempat yang tinggi untuk mengelak kerosakan tanaman ketika banjir.

“Saya lihat cadangan boleh dilaksanakan dengan membina tempat khas bagi tanaman fertigasi bagi mengelak air banjir. Secara tidak langsung dapat mengurangkan kerugian dialami petani dan pekebun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!