Sinar baharu bekas penagih

Sahar, Din dan Hassan membaca al-Quran di surau Perkampungan Darul Barakah, Marang.
Sahar, Din dan Hassan membaca al-Quran di surau Perkampungan Darul Barakah, Marang.
A
A
A

MARANG - Berpeluang khatam al-Quran sebanyak 11 kali sepanjang tahun dan menerima rawatan pemulihan di Perkampungan Darul Barakah, Pengkalan Berangan, di sini menjadi pengalaman indah buat seorang bekas penagih dadah.

Hanya mahu dikenali sebagai Hassan, lelaki berusia 35 tahun itu tidak menyangka dapat merasai kembali nikmat membaca dan memuliakan al-Quran selepas kali terakhir khatam ketika bersekolah di sekolah menengah berasrama penuh.

“Dadah yang diambil sejak sekolah menengah hanyutkan saya jauh dari agama. Selain tidak menunaikan perintah ALLAH SWT, saya juga derhaka kepada mak, tengking, curi duit dia dan banyak kecewakan harapan mak.

“Alhamdulillah, saya menemui sinar baharu di sini dan berazam membahagiakan mak yang kini menderita strok selepas keluar nanti,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan sebelum diberhentikan selepas terjebak dadah.

Menurut anak ketiga dari lima beradik itu, selain ketagihan, dadah memberi impak besar dalam hidupnya apabila turut mengalami halusinasi dan mendengar bisikan hingga membuatkannya hampir melalakukan perkara buruk.

Walaupun pernah berubah dan berjaya berhenti mengambil bahan terlarang itu selama lima tahun namun tekanan hidup menyebabkan Hassan kembali terjebak dengan perbuatan haram tersebut.

“Mujurlah saya datang ke sini (Darul Barakah) untuk berubat dan menjalani pemulihan.

“Hasil rawatan psikososial dan psikospiritual yang lebih mendekatkan kita kepada agama Islam, saya kini pulih tanpa mengalami bisikan atau halusinasi lagi,” katanya yang turut menghargai sokongan ibu yang tidak pernah jemu melawatnya.

Seorang lagi penghuni Perkampungan Darul Barakah, Sahar, 28, dari Kuala Terengganu pula bersyukur kerana ditangkap oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan menerima rawatan di pusat ini.

Meskipun menyesali perbuatannya mengambil dadah ketika menuntut di universiti awam dan meranapkan cita-citanya sebagai guru, Sahar enggan menoleh ke belakang lagi, sebaliknya melangkah untuk membina hidup baharu.

“Di sini, saya temui siapa diri dan matlamat sebenar hidup.

“Sepanjang Ramadan, saya dapat tunaikan solat tarawih dan tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan saya selain syukur, selama ini (solat) yang wajib pun tidak pernah buat apatah lagi sunat.

“Darul Barakah benar-benar mengubah diri saya, sekarang saya masih lagi belajar mengaji, menghafal kitab dan melakukan pelbagai aktiviti lain sebagai persediaan untuk berbakti kepada mak bila tamat rawatan nanti.

“Saya juga berhasrat untuk menyambung kembali pengajian yang tertangguh sebelum ini,” kata anak kedua daripada tiga beradik.

Sementara itu, Din, 37, pula memberitahu, tiada apa yang menggembirakan dirinya apabila berpeluang menjadi imam kepada rakan-rakan di Perkampungan Darul Barakah.

Penghuni Perkampungan Darul Barakah mengikuti kuliah agama.
Penghuni Perkampungan Darul Barakah mengikuti kuliah agama.

Ia adalah satu perubahan besar buat bekas penagih dadah sepertinya.

Jelasnya, selama ini dia sudah berusaha berubah apabila pernah dipenjarakan sebanyak sembilan kali kerana terjebak dengan pelbagai jenis dadah namun ia sentiasa menemui kegagalan serta kembali kepada tabiat lama.

“Memang payah hendak berubah baik, sempat insaf sekejap saja.

“Pengambilan dadah seperti syabu, heroin dan eramin 5, keadaan saya bertambah teruk apabila mula terdengar bisikan yang bukan-bukan hingga saya bawa pisau dalam motosikal.

“Selepas sedar diri semakin teruk, ALLAH SWT jentik hati saya untuk jalani pemulihan di sini pada 16 Mac tahun lalu. Mak merupakan orang paling kuat menyokong saya untuk berubah.

“Saya seronok di sini kerana berpeluang belajar agama, mengaji dan membaca kitab.

“Alhamdulillah, berkat doa mak, saya kini pulih daripadaketagihan dan halusinasi,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Perkampungan Darul Barakah yang ditubuhkan kerajaan negeri pada Jun 2021 merupakan antara manifesto Pas Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam usaha membantu penagih kembali ke pangkal jalan dan mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.

Setakat ini, seramai 86 pelatih sudah mendapat rawatan secara percuma di Darul Barakah.

Penyertaan hanya dibuka kepada anak jati Terengganu yang berumur antara 18 hingga 55 tahun, sihat tubuh badan tanpa sebarang penyakit kronik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!