Pelancongan dapat pacu ekonomi, pelaburan di ASEAN, kata Mohamaddin
PUTRAJAYA - Industri pelancongan ASEAN mempunyai peranan yang penting untuk membantu rantau ini membangunkan ekonomi dan memacu pelaburan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.
Beliau berkata, industri pelancongan ASEAN menampilkan beberapa destinasi paling pesat berkembang di dunia dengan jarak penerbangan yang kurang daripada empat jam, akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN.
"ASEAN adalah destinasi impian. Dan apabila kita terus memacu momentum, ia akan terus mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan.
"Industri ini membantu kita menjual ASEAN, membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan membantu memacu pelaburan," katanya pada perasmian Konvensyen Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Zulkifly Md Said.
Konvensyen selama dua hari, yang diadakan dengan kerjasama Tourism Malaysia, dihadiri seramai 160 delegasi dari Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina, Kemboja dan Malaysia sebagai tuan rumah.
Mohamaddin berkata persaingan yang lebih besar bagi pelancongan global akan terus meningkat, menambah kepada cabaran sedia ada yang perlu ditangani seperti ancaman bencana alam dan keganasan.
Beliau berkata cabaran dalam pelancongan global dan industri pelancongan turut didorong oleh trend ekonomi yang tidak menentu, serta corak perjalanan yang berubah dan pilihan yang boleh memberi kesan kepada industri.
Mohamaddin berkata bagi menghadapi cabaran itu, kerajaan dan semua peserta industri perlu terus berinovasi, terutamanya dengan tarikan baharu dan acara untuk mengekalkan sektor pelancongan.
Katanya semua pihak perlu bekerjasama untuk membina industri penting ini bagi peluang yang lebih besar dan menghapuskan halangan kepada pertumbuhan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!