Cara paling selamat putihkan kulit tanpa produk kecantikan

Janganlah kerana terlalu taasub dengan kecantikan, kita sampai sanggup mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan diri. - Gambar hiasan
Janganlah kerana terlalu taasub dengan kecantikan, kita sampai sanggup mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan diri. - Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK dua minggu sebelum ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang dinanti-nantikan, bertalu-talu iklan produk pemutih kulit terpapar di platform sosial media seperti Facebook dan Instagram.

Semua mesej yang disampaikan adalah supaya golongan wanita bukan sahaja anggun bergaya pada hari lebaran, malah tampil gebu putih mulus.

Sebagai orang Asean yang berkulit ‘tan’, Merak Jalanan juga hampir-hampir terpengaruh dengan iklan-iklan seumpama itu. Mujurlah Merak Jalanan sedar diri, lebih-lebih lagi bila lihat peruntukan raya yang semakin berkurangan.

Teringin betul Merak Jalanan nak memiliki kulit gebu ala-ala artis Korea yang kemerah-merahan. Pasti ramai yang akan cemburu nanti.

Harga produk pemutih itu ada yang serendah RM50 dan boleh mencecah ratusan ringgit. Memang mampu milik!

Ada dalam bentuk kapsul, ada dalam bentuk cecair dan ada dalam bentuk suntikan. Tapi apa pun berhati-hatilah jika ada niat nak membeli.

Teringat pula pengalaman isteri jiran Merak Jalanan yang hampir maut kerana menerima suntikan pemutihan di sebuah klinik kecantikan suatu ketika dahulu. Orangnya manis dan sopan sekali.

Akibat suntikan tersebut, dia mengalami kesukaran bernafas dan sukar berjalan. Mujurlah dia selamat.

Sebenarnya, kaedah yang terjamin paling selamat untuk kulit kelihatan putih adalah dengan mengedit sahaja foto diri sendiri. Tak perlu suntik pun. Kaedah itu bukan sahaja percuma, malah akan kekal ‘cantik’ selama-lamanya.

Janganlah kerana terlalu taasub dengan kecantikan, kita sampai sanggup mengabaikan aspek kesihatan dan keselamatan diri.

Bersyukurlah dengan rupa paras yang telah ALLAH SWT jadikan. Apa yang penting bukanlah kulit putih tetapi hati yang bersih.

Tidak guna kalau berkulit putih tetapi bersikap hasad dengki dan tidak boleh melihat orang lain lebih berjaya atau bagus daripada kita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!