Zakri perjuang nasib haiwan jalanan
TEMERLOH - Berstatus orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang seorang lelaki warga emas berkongsi kasih sayang dengan haiwan jalanan seperti kucing sejak kecil hingga kini.
Ahmad Zakri Abu Bakar, 66, dari Kampung Baru Sanggang di sini bergantung dengan motosikal empat roda untuk memberi makan kepada kucing-kucing jalanan sekitar Sanggang, Kerdau dan bandar Temerloh setiap hari apabila berkesempatan.
Malah sepanjang Ramadan lalu, aktiviti itu makin giat dilakukan kerana menyedari banyak kedai makan atau restoran ditutup menyebabkan haiwan tersebut tiada sumber makanan.
“Kesihan bila difikirkan, sebab bila bulan puasa lagi susah kucing, anjing cari makanan.
“Selalunya selepas jam 12 tengah malam saya akan melakukan aktiviti ini sekitar Sanggang khususnya hingga jam 5 pagi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ujar bekas penyelia itu, dia mula bergelar OKU selepas jatuh dari pokok di tapak pembinaan di Tanjung Malim, Perak pada tahun 2009 menyebabkan badannya menjadi lemah akibat cedera pada saraf tunjang.
Ketika ditanya mengenai kecintaan terhadap haiwan, dia berkata, ia adalah pengaruh daripada nenek sejak dari kecil dan semangat itu terus dibawa hingga kini walaupun tidak lagi sekuat dulu.
“Saya sanggup gunakan duit bantuan bulanan RM500 yang diberikan untuk menampung kos perbelanjaan makanan khususnya untuk kucing selain ada insan-insan prihatin yang menyumbangkan makanan,” kata Ahmad Zakri.
Menurut Ahmad Zakri, sebanyak empat kilogram (kg) makanan diagihkan kepada kucingkucing terbabit setiap hari.
“Saya selalunya lakukan aktiviti beri makanan pada waktu malam kerana kurang gangguan dan lebih fokus pada kawasan yang sukar dapat makanan,” ujar Ahmad.
Mengakui aktiviti itu memerlukan kos tinggi namun dia tidak mudah mengalah kerana bersimpati dengan nasib haiwan jalanan.
“Selain beri makanan, saya juga ada bawa pulang untuk dijaga terutamanya yang sakit, rasanya hampir 100 ekor setakat ini di rumah.
“Memang keluarga bising tapi mereka faham jiwa dan sayangnya saya terhadap haiwan jalanan,” ujarnya turut memberikan makanan untuk anjing jalanan.
Tambah anak kedua daripada tiga beradik itu, dia mengakui rezeki buatnya tetap ada walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Rezeki tak pernah putus, datang dalam pelbagai cara, tiba-tiba ada orang bagi duit untuk kucing, minyak motor dan lain-lain.
“Cuma harapan saya agar masyarakat tidak bertindak kejam dengan haiwan jalanan, kalau tak suka, jangan sepak, pukul, haiwan ini bukan macam manusia ada akal fikiran,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!