Selenggara kenderaan sebelum mulakan perjalanan jauh
BARU-BARU ini negara dikejutkan dengan kejadian empat sekeluarga ditemukan pengsan dalam kenderaan dipercayai akibat kekurangan oksigen dekat Plaza Tol Bentong.
Anak sulung mangsa melalui laman Facebook memaklumkan semua ahli keluarganya yang terlibat dalam kejadian itu sudah kembali sedar dan punca mereka pengsan dipercayai disebabkan keracunan oksigen pendingin hawa kenderaan.
Justeru, sudah tentu sebelum melakukan perjalanan jauh adalah penting untuk memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan risiko kemalangan daripada berlaku.
Sinar Harian pada hari ini (Rabu) melaporkan bahawa tidak menghidupkan fungsi kitaran udara luaran dalam kenderaan ketika menghidupkan penyaman udara boleh menyebabkan pemandu dan penumpang mengalami kelesuan dan pengsan akibat kekurangan oksigen.
Perkara itu diperjelaskan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Profesor Dr Wong Shaw Voon yang menyatakan fungsi tersebut adalah penting bagi memastikan oksigen sentiasa mencukupi terutama untuk pemanduan jarak jauh.
Hal ini sudah tentu memberi peringatan kepada setiap pengguna jalan raya memastikan fungsi kitaran udaran luaran dalam kenderaan perlu dihidupkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Mengambil tahu dan peka terhadap keadaan dalam kenderaan selain memastikan segalanya berada dalam keadaan selamat sebelum bertolak dapat memastikan perjalanan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Bukan sahaja kenderaan perlu dipastikan selamat namun penting juga kepada pemandu berada dalam keadaan sihat selain cukup tidur sebelum memulakan perjalanan.
Sebab itu pentingnya rehat yang cukup, sihat dan kenderaan diselenggara dengan baik bagi memulakan perjalanan jauh sempena perayaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!