Dedah perbelanjaan program rumah terbuka - Gerakan
KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan butiran perbelanjaan program Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 yang akan diadakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia untuk semakan parti pembangkang dan rakyat bagi memastikan dana kerajaan tidak disalahguna untuk kepentingan parti politik.
Menurutnya, program itu bukan hanya akan membazirkan wang negara tetapi ia juga termasuk dalam agenda parti dalam kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau turut menyifatkan, perbelanjaan program untuk Perdana Menteri itu melibatkan penggunaan wang kerajaan namun ia tidak pernah didedahkan.
“Walaupun program itu sepatutnya untuk Hari Raya Aidilfitri, tetapi orang juga tahu bahawa program Rumah Terbuka ini adalah untuk membantu Kerajaan Campuran bagi menjalankan kempen dan tarik undi untuk PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kewangan awam. Ini termasuk dalam perbelanjaan kerajaan untuk rakyat, bukan menyalahgunakan dana untuk kepentingan peribadi parti politik," katanya dalam satu kenyataan.
Dominic menambah, Perikatan Nasional (PN) mempunyai tanggungjawab untuk menyemak penggunaan dana Kerajaan Campuran supaya dapat melindungi kepentingan rakyat yang membayar cukai.
“Bukan sahaja Gerakan mengkritik Perdana Menteri, Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long pun mengkritik terhadap isu tersebut.
“Untuk pengetahuan semua, Luqman Long telah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (Strategik) kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Beliau berani membela kepentingan rakyat dan patut menjadi contoh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!