Ledak empat gol umpama mimpi - Castellanos
PENYERANG sensasi, Taty Castellanos menyifatkan kejayaannya meledak empat gol ketika membantu Girona membenam Real Madrid 4-2 ibarat mimpi.
Penyudah tajam Castellanos meletakkan dia sebagai pemain pertama menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan menentang Real Madrid sejak 1947 dalam saingan La Liga awal pagi Rabu.
“Ia umpama mimpi, kami beraksi hebat menentang antara pasukan handalan dunia. Saya tak pernah terfikir ia boleh berlaku,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.
Kekalahan mengejut Real meletakkan juara bertahan itu tampak semakin sukar mempertahankan gelaran daripada dirampas musuh tradisi Barcelona.
Castellanos yang dipinjam daripada kelab MLS, New York City FC meledak dua gol pada kedua-dua babak perlawanan bagi memastikan kemenangan sensasi ke atas skuad Carlo Ancelotti.
Girona dan New York City adalah kelab 'angkat' Manchester City yang bakal berdepan Real Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara Mei depan.
“Saya nikmati kegembiraan ini bersama penyokong, keluarga dan masyarakat di Argentina. Mereka sentiasa menyokong saya dan ia sangat berharga,” kata Castellanos.
Penyerang Argentina itu memenangi Anugerah Bola Emas MLS 2021 selepas meledak 19 gol dalam 32 perlawanan tetapi tidak pernah menyarung jersi pasukan negaranya.
Individu terakhir meledak empat gol ketika menentang Madrid dalam aksi La Liga ialah pemain Real Oviedo, Esteban Echavarria pada 1947.
Penyerang Barcelona Robert Lewandowski pernah melakukannya, namun ia berlangsung dalam saingan Liga Juara-Juara ketika beraksi bersama Borussia Dortmund pada 2013.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!