Langkah kanan Tang Jie-Ee Wei di Dubai

Tang Jie (kanan) dan Ee Wei mara ke pusingan kedua BAC setelah menewaskan pasangan Korea Selatan di Dubai pada Selasa. - Foto Badminton Photo
Tang Jie (kanan) dan Ee Wei mara ke pusingan kedua BAC setelah menewaskan pasangan Korea Selatan di Dubai pada Selasa. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sensasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila mengalahkan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun pada malam Selasa.

Kemenangan itu membolehkan pasangan ranking ke-22 dunia itu mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 yang berlangsung di Dubai.

Masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Masters Orleans awal bulan ini, mereka menang 21-14, 21-13 ke atas Won Ho-Na Eun pada aksi pusingan pertama kejohanan.

Tang Jie-Ee Wei akan menentang bekas juara Seluruh England, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia untuk perebutan tiket ke suku akhir pada Khamis.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 15-21, 22-20, 21-15 bagi meraih tiket ke kelompok 16 terbaik.

Pilihan kelapan kejohanan itu akan menentang pasangan China, Cheng Xing-Chen Fang Hui pada perlawanan pusingan kedua.

Bagaimanapun skrip berbeza buat satu lagi beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila menjadi 'korban' pertama dari Malaysia.

Mereka ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas kalah kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 17-21, 13-21.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!