Pemain Spurs bayar semula tiket penyokong
PEMAIN Tottenham Hotspur menawarkan untuk membayar semula ganti rugi kepada penyokong yang bertandang ke Stadium St James' Park ketika mereka diaibkan dengan kekalahan 1-6 kepada Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu.
Newcastle mendahului 5-0 selepas hanya 21 minit perlawanan belangsung untuk menjadi pasukan kedua tercepat melakukannya dalam sejarah EPL selepas rekod yang dilakukan Manchester City ke atas Watford pada September 2019.
Kekalahan besar itu turut menyaksikan ketua jurulatih sementara, Cristian Stellini, dipecat dan Ryan Mason pula dipilih untuk menggantikan tempat itu sehingga penghujung musim ini.
"Sebagai satu pasukan, kami memahami kekecewaan anda, kemarahan anda. Ia tidak cukup baik.
"Kami sedar kata-kata sahaja tidak mencukupi dalam situasi seperti ini tetapi percayalah, kekalahan seperti ini melukai kami.
"Kami menghargai sokongan anda, di laman sendiri dan di laman lawan. Oleh itu, kami mahu membayar semula kos yang dikeluarkan penyokong untuk membeli tiket di St James' Park.
"Kami sedar ini tidak akan mengubah apa yang berlaku pada hujung minggu lalu dan kami akan memberikan segala-galanya untuk memperbetulkan keadaan ketika menentang Manchester United," kata kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!