Jemaah umrah rugi RM600,000 ditipu agensi pelancongan

Jemaah umrah yang membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pada Rabu mahu agensi pelancongan terbabit mengembalikan wang mereka.
Jemaah umrah yang membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pada Rabu mahu agensi pelancongan terbabit mengembalikan wang mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 80 jemaah umrah mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM600,000 selepas ditipu sebuah agensi pelancongan.

Mereka turut mendakwa dijanjikan menunaikan ibadah itu pada Disember tahun lalu namun sehingga kini hasrat mereka tidak kesampaian.

Lebih menyedihkan, wang bayaran penuh yang dibuat sejak Oktober tahun lalu juga belum dikembalikan.

Mangsa, Noraini Pauzi, 50, dari Machang memberitahu dia sudah membayar RM15,200 kerana berhasrat menunaikan umrah bersama anaknya.

"Saya mengambil pakej RM7,600 setiap seorang dan kami sepatutnya berlepas pada 14 Disember tahun lalu," katanya kepada pemberita pada Rabu selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.

Noraini turut disertai lebih 20 bakal jemaah lain yang mendakwa ditipu agensi sama

Bagaimanapun katanya, seminggu sebelum berlepas Noraini dimaklumkan oleh agensi itu bahawa umrah mereka ditangguhkan susulan berlangsungya Piala Dunia di Qatar ketika itu.

“Kami kemudiannya dijanjikan akan berlepas pada Februari, namun sekali lagi gagal kerana memaklumkan terdapat masalah di Makkah, sebelum dijanjikan penerbangan seterusnya pada Mac," katanya.

Menurut Noraini, mereka ada mendesak agensi berkenaan untuk mendapatkan semula wang yang dibayar tetapi pelbagai alasan diberikan.

Noraini berkata, pada mulanya dia teruja untuk menunaikan umrah namun akhirnya kecewa dengan pelbagai alasan yang diberikan pihak pengurusan agensi terbabit.

“Justeru, kami berharap wang kami dikembalikan semula kerana kami bukan orang senang. Itu duit hasil kerja keras kami untuk menunaikan umrah.

“Saya juga bertanyakan agensi pelancongan lain, mereka tidak berdepan sebarang masalah pun membawa jemaah umrah, namun agensi pelancongan kami memberi pelbagai alasan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hasliliwani Ab Ghani, 37, turut meluahkan rasa kecewa apabila hasratnya bersama kakak serta abang menunaikan ibadah umrah tidak kesampaian.

“Lebih menyedihkan bayaran untuk umrah menggunakan duit arwah ibu kerana sebelum meninggal dunia, dia berhasrat membawa kami menunaikan umrah namun tidak kesampaian," jelasnya.

Hasliliwani juga menjelaskan sudah beberapa kali cuba berunding untuk mendapatkan semula wangnya namun gagal dan mengambil keputusan membuat laporan polis.

"Saya berharap polis dapat menyiasat agensi itu dan duit kami dapat dikembalikan," ujarnya.

Sementara itu, Azra Zahari, 43, memberitahu bahawa dia membuat laporan polis bagi pihak kedua ibu bapanya menggesa agensi pelancongan terbabit mengembalikan semula wang mereka.

Jelasnya, ibu bapanya tidak sabar menunaikan umrah kerana akan menjadi pengalaman pertama mereka.

“Kami turut mengadakan majlis doa selamat dan solat hajat tetapi mereka gagal menunaikan umrah. Sehingga kini mereka masih malu dengan penduduk kampung dan segan untuk ke surau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!