Anggota tentera tendang skuter ditunggang wanita bersama budak
BANDUNG - Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Yudo Margono tampil memohon maaf di atas kelakuan angkuh seorang anggotanya yang menendang skuter ditunggang pengguna jalan raya lain.
Menurut Yudo, beliau telah mengarahkan siasatan dalaman dan menuntut anggota tersebut dikenakan tindakan keras setimpal dengan kelakuannya yang menyakiti hati masyarakat.
Permohonan maaf Yudo disampaikan jurucakap tentera, Julius Widjojono sambil menegaskan beberapa pegawai TNI dan TNI Angkatan Udara (TNI AU) telah berkunjung ke rumah mangsa di Bekasi.
Pada Isnin lalu, tindakan pegawai Pasukan Khas Udara (Denhanud 471), Arya Nobel Gideon menendang skuter ditunggang Sri Dewi Kemuning, 21, bersama seorang budak lelaki dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain.
Insiden di Jalan Hankam Mabes itu tular selepas dimuat naik ke media sosial sekali gus mengundang kecaman meluas warganet.
Siasatan awal mendapati, insiden itu tercetus selepas berlaku 'perang mulut' kerana Sri Dewi membrek secara mengejut.
Situasi itu menyebabkan Arya melanggar bahagian belakang skuter ditunggang wanita tersebut.
"Arya sudah pun mengemukakan permohonan maaf dan wanita itu serta keluarganya juga memaafkannya.
"Apa pun, pegawai itu tetap berdepan hukuman dan tindakan disiplin kerana sikap sombongnya," ujar Julius. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!