AKPK ambil langkah keselamatan siber
SHAH ALAM - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang mengambil langkah-langkah keselamatan susulan pencerobohan pelanggan mereka yang telah diterbitkan di web gelap oleh penjenayah siber.
Pihaknya mengesahkan, terdapat data yang melibatkan kira-kira 20 pelanggan mereka termasuk pendedahan nama dan nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC) telah diterbitkan.
“AKPK sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani kemungkinan lebih banyak data pelanggan diterbitkan.
“Kami menasihati semua pelanggan supaya sentiasa berwaspada,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut AKPK, segala maklumat dalam pemilikan penjenayah siber adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Tambahnya, sebarang perolehan, penggunaan dan penyebaran maklumat yang sama merupakan satu kesalahan jenayah.
“Pihak AKPK bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital serta CyberSecurity Malaysia dalam menjalankan siasatan menyeluruh.
“Kami juga sedang berusaha untuk mengenal pasti maklumat khusus yang telah diakses secara haram dan memaklumkan kepada pelanggan,” jelasnya.
Justeru, pihak AKPK akan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk mengurangkan kesan pencerobohan tersebut dengan menghubungi pelanggan tentang pelanggaran keselamatan.
Ujarnya, kakitangan kami juga akan memberi nasihat kepada pelanggan dalam menangani perkara yang berkaitan dengan pelanggaran tersebut.
“Kami telah memutuskan untuk menyahaktifkan beberapa sistem operasi buat sementara waktu dalam mengelakkan risiko selanjutnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!