Kaji semula keputusan bawa BTS
KUALA TERENGGANU - Kerajaan diminta mengkaji semula keputusan untuk membawa kumpulan K-Pop ikonik, Bangtan Boys atau BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ini kerana, sewajarnya kerajaan memanfaatkan artis-artis tempatan berbanding memberi keutamaan pada artis antarabangsa.
Menurutnya, idea untuk membawa kumpulan BTS ke Malaysia tidak akan memberi apa-apa kebaikan pada industri hiburan tanah air dan paling utama ia lebih kepada pembaziran memandangkan kos perbelanjaan pasti memerlukan bajet besar.
"Sekiranya artis tempatan dimanfaatkan, kita bukan sahaja dapat menaikkan imej industri hiburan tanahair, tetapi berjaya menjana pendapatan yang mampu membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar.
"Situasi ini secara tidak langsung para pemain industri ini mendapat pekerjaan di dalam negara sendiri. Sebenarnya keperluan menyediakan peluang pekerjaan itu adalah isu pertama, manakala isu hiburan hanya sampingan sahaja," katanya hari ini.
Bagaimanapun, jelas Wan Sukairi, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu teruskan dengan keputusan dibuat atau sebaliknya tetapi dalam masa sama, seharusnya mempertimbangkan pandangan orang ramai, lebih-lebih lagi golongan artis tempatan.
"Saya difahamkan, artis-artis tempatan juga tidak bersetuju dan menolak keputusan yang diumumkan sebelum ini dengan memberi alasan tersendiri.
"Jadi seharusnya pandangan golongan artis-artis ini dan orang ramai dipertimbangkan semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Dengue Awareness Day 2019 di Kampung Losong Wakaf Nyior Kembar, di sini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan untuk membawa masuk kumpulan tersebut ke Malaysia selewat-lewatnya pada 2020, sempena Tahun Melawat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!