120 terbaik dunia bukan mustahil

Sasaran diletakkan terhadap Harimau Malaya untuk berada di ranking ke-120 dunia menjelang hujung tahun ini tidak mustahil untuk direalisasikan. - Foto FAM (Gambar kecil: Jamal Nasir)
Sasaran diletakkan terhadap Harimau Malaya untuk berada di ranking ke-120 dunia menjelang hujung tahun ini tidak mustahil untuk direalisasikan. - Foto FAM (Gambar kecil: Jamal Nasir)
A
A
A

SASARAN diletakkan Harimau Malaya untuk berada di ranking ke-120 dunia menjelang hujung tahun ini dilihat agak tinggi, namun tidak mustahil untuk dicapai.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, untuk meletakkan skuad negara di kedudukan ke-120 memerlukan kerja keras, persembahan konsisten dan keputusan positif dalam setiap perlawanan yang diharungi skuad negara.

“Kesungguhan perlu ada untuk pasukan negara sekiranya mereka mahu mencapai ranking 120 dunia kerana sekarang sudah nak masuk bulan Mei dan perlu mencari mata yang banyak menjelang hujung tahun.

“Senang cerita, mereka kena meraih keputusan positif dalam semua perlawanan sekiranya mahu mencapai sasaran tersebut. Jika kita dapat kedudukan 120 itu, sudah tentu sangat bagus dan satu perkembangan yang baik untuk bola sepak negara

“Namun, sasaran tidak selalunya tepat. Jika tak dapat ranking 120, dapat sekitar ranking 130 iaitu memperbaiki ranking 138 ketika ini pun dah cukup baik,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin skuad negara akan terus mendaki kedudukan lebih baik menembusi ranking ke-120 dunia sekiranya meraih keputusan positif dalam keseluruhan enam aksi pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun, September dan Oktober depan.

Malaysia ketika ini naik tujuh anak tangga daripada kedudukan 145 untuk berada di posisi 138 dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA baru-baru ini.

Ia disumbangkan dua kemenangan, masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, bulan lepas.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara adalah di kedudukan ke-75 dunia yang dilakukan pada tahun 1993.

Dalam pada itu, beliau berkata, FAM perlu bijak mencari lawan yang berada di ranking tinggi untuk mendapat mata yang banyak dalam setiap perlawanan.

“Saya difahamkan beberapa pasukan seperti Taiwan, China dan Kuwait berminat untuk lawan pasukan negara pada September nanti.“China merupakan pilihan yang baik tetapi kalau dapat yang lebih baik berbanding Taiwan atau Kuwait juga lebih bagus untuk pasukan negara,” katanya.

Malaysia akan melayani kunjungan Kepulauan Solomon dan Yaman dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Jun sebelum menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan pada September yang belum lagi dimuktamadkan.

Selepas itu, pasukan negara akan menjadi hos Pestabola Merdeka dengan India, Palestin dan Lubnan akan mengambil bahagian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!