Penyeludupan skala besar aibkan negara

Pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM789 juta dalam sebuah kontena penghantaran dari Pelabuhan Klang ke Brisbane 13 mac lalu.
Pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM789 juta dalam sebuah kontena penghantaran dari Pelabuhan Klang ke Brisbane 13 mac lalu.
A
A
A

SEKURANG-kurangnya terdapat dua insiden penyeludupan skala besar yang gagal dikesan pihak berkuasa Malaysia tetapi berjaya dibongkar oleh pihak berkuasa negara luar baru-baru ini.

Kejadian pertama berlaku pada 13 Mac lalu apabila pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM789 juta dalam sebuah kontena penghantaran dari Pelabuhan Klang ke Brisbane.

Pasukan Sempadan Australia (AABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok di dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500 kilogram.

Kejadian kedua pula didedahkan polis Thailand minggu lalu apabila pihak berkuasa negara jiran itu membongkar sindiket penyeludupan menggunakan trak pikap untuk mengangkut ratusan ribu liter bahan api dari Malaysia ke Thailand setiap bulan.

Sindiket dikenali sebagai ‘Jae Fang’ itu menggunakan trak pikap dan lori dengan tangki bahan apinya sudah diubah suai.

Siasatan polis Thailand mendapati tangki bahan api yang diubah suai itu boleh membawa kira-kira 1,000 liter minyak untuk setiap perjalanan. Ada trak pikap yang berulang-alik dengan purata 10 perjalanan setiap hari.

Dua kejadian yang dibongkar dalam tempoh kira-kira sebulan itu menunjukkan wujud kelemahan dalam sistem penguatkuasaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.

Penyeludupan skala besar itu adalah sesuatu yang mengaibkan. Bagaimana dengan sistem canggih yang dimiliki pihak berkuasa boleh berlaku penyeludupan sebegitu rupa dan terjadi berulang kali pula?

Ia menunjukkan kelemahan kita yang perlu diatasi segera termasuk menilai semula petugas penguat kuat kuasa yang ditempatkan di pintu sempadan negara.

Pemantauan rapi harus dibuat jika terdapat pegawai-pegawai kerajaan korup yang ditempatkan di semua pintu masuk negara. Hanya pegawai yang mempunyai integriti tinggi harus dibenarkan berkhidmat di kawasan berkenaan.

Bukanlah rahsia apabila kebanyakan sindiket penyeludupan atau pemerdagangan sanggup memberi rasuah dalam usaha menjalankan kegiatan haram mereka.

Di sinilah pihak berkuasa seperti pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus melipatgandakan usaha supaya aktiviti penyeludupan dapat ditangani sebaik-baiknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!