Cuaca panas pengaruhi mental, emosi
BARU-baru ini tular satu video seorang pesara tentera cedera akibat dipukul dengan buluh lemang oleh seorang peniaga selepas lelaki itu mendakwa lemang yang dibelinya mentah.
Di Terengganu, tindakan sekumpulan mat rempit membuat bising pada petang hari raya pertama menyebabkan seorang lelaki hilang sabar.
Lalu, dengan hanya berkain pelikat, lelaki itu turun ke jalan raya sambil memegang dua batang kayu kerana mahu mengusir kumpulan mat rempit tersebut.
Di Port Dickson, Negeri Sembilan pula satu video tular apabila seorang wanita cuba menahan sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat. Tindakan wanita itu yang membahayakan dirinya turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Ironinya, kesemua insiden itu berlaku ketika negara berdepan dengan fenomena cuaca panas. Apakah cuaca ada kesan kepada mental dan emosi manusia?
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), negara kini mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos ini, susulan peralihan monsun. Peralihan monsun menyebabkan negara mengalami cuaca paling kering dengan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius.
Negeri yang paling terkesan akibat cuaca panas ini adalah bahagian utara dan Pantai Timur Semenanjung. Khabarnya, kawasan di utara lebih teruk dengan kawasan bersempadan Thailand mencecah suhu lebih 37 darjah Celsius.
Bagaimanapun, setakat ini suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998. Suhu normal di negara ini adalah antara 32 hingga 33 darjah Celsius.
Jika dibandingkan dengan negara lain, suhu Malaysia masih dianggap tidak sepanas seperti di India. Jabatan Meteorologi India (IMD) melaporkan, suhu maksimum diramal mencecah sekitar 39 hingga 41 darjah Celsius di beberapa bahagian Gujerat, sementara dua tempat di Odisha iaitu Jharsuguda dan Baripada, masing-masing mencatatkan suhu maksimum 40 darjah Celsius.
Lazimnya, kita sedar cuaca panas dan kering akan memberi tekanan fizikal kepada kesihatan tubuh, antaranya strok haba, sakit kepala, mual, berpeluh berlebihan dan denyutan nadi yang pantas.
Bagaimanapun, beberapa kajian mendedahkan cuaca panas juga mempengaruhi emosi, mental dan tingkah laku.
Dalam satu kajian pada 2017 yang melibatkan pekerja runcit di kedai rangkaian mendapati 50 peratus daripada mereka kurang berinteraksi secara aktif dengan pelanggan apabila cuaca terlalu panas.
Dalam satu kajian lain, penyelidik membahagikan pelajar kursus pe-ngurusan kolej kepada dua kum-pulan. Satu kumpulan dimasukkan ke dalam bilik darjah yang lembap dan panas, sementara satu lagi di dalam bilik berhawa dingin.
Penyelidik kemudiannya meminta pelajar mengisi tinjauan untuk membantu orang yang kurang bernasib baik dalam komuniti tetapi hanya 64 peratus daripada peserta di bilik panas bersetuju untuk menjawab sekurang-kurangnya satu soalan, berbanding 95 peratus di bilik sejuk.
Jadi, penyelidik membuat kesimpulan bahawa haba benar-benar boleh menjejaskan persepsi, emosi dan tingkah laku seseorang terhadap orang lain.
Faktanya adalah meskipun matahari boleh menyebabkan manusia lebih gembira dan selesa, mood itu akan bertukar sekiranya cuaca terlalu panas. Dalam satu kajian lain di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, cuaca panas adalah antara faktor meningkatnya jenayah bersenjata di negara tersebut.
Hampir 8,000 kes tembakan di 100 bandar paling ramai penduduk di AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini berpunca daripada suhu panas yang tidak sesuai, menurut kajian Universiti Boston dan Universiti Washington.
Diterbitkan dalam jurnal Jama Network Open, penyelidikan itu menganalisis 116,511 kes tembakan yang berlaku di AS antara 2015 hingga 2020 di 100 buah bandar.
Mereka mendapati 6.85 peratus atau 7,973 kes adalah disebabkan oleh suhu di atas purata. Tembakan ditakrifkan sebagai insiden melibatkan senjata api sekurang-kurangnya seorang terbunuh atau cedera.
Penyelidik berpendapat perubahan iklim yang mungkin meningkatkan suhu harian melebihi julat normal, boleh menyumbang kepada peningkatan kekerasan senjata api.
Apa pun, perlu diingat cuaca tidak sewajarnya dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menjustifikasikan emosi atau tingkah laku negatif kerana sebagai manusia, kita adalah makhluk berakal yang boleh membuat pertimbangan dalam apa juga situasi.
*Najibah Hassan ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!