Lelaki Pakistan maut dalam kebakaran bengkel kereta

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di sebuah bengkel kereta di Seksyen 16, Shah Alam pada Khamis.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di sebuah bengkel kereta di Seksyen 16, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Pakistan maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran melibatkan sebuah bengkel kereta di Seksyen 16 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa merupakan pekerja di bengkel tersebut.

"Laporan berkaitan kejadian diterima kira-kira jam 5.56 pagi yang dibuat seorang individu warga tempatan.

"Mangsa ditemui di tangga bangunan dua tingkat tersebut yang dipercayai sedang cuba menyelamatkan diri ketika kejadian, bagaimanapun gagal," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan melecur pada kedua belah kaki.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 5.12 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan kerja pemadaman.

"Api berjaya dikawal oleh pihak bomba pada jam 5.42 pagi sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.07 pagi.

"Terdapat seorang mangsa terlibat iaitu seorang lelaki warga Pakistan berumur lingkungan 30-an yang maut dalam kejadian.

"Setakat ini punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!