MCW sokong penuh pendekatan baharu SPRM
SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha melaksanakan program bersasar membabitkan sektor perolehan kerajaan dan dana awam termasuk peruntukan kerajaan serta sektor penguatkuasaan bagi mencegah amalan rasuah.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pendekatan baharu itu penting difahami oleh rakyat dalam memastikan rasuah berskala mega mampu dicegah daripada kembali berulang.
“Pasti ada pihak yang mempersoalkan keberkesanan pendekatan baharu ini kerana kelihatan jelas SPRM kekurangan sumber daya manusia yang mencukupi termasuk kekurangan kerjasama daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat.
“Kerajaan wajar menyokong usaha ini dengan menyediakan kemudahan yang mencukupi kepada SPRM,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata program itu akan dilaksanakan bagi memberi tumpuan terhadap isu kartel, ketirisan dana kerajaan, pelanggaran undang-undang dan ketidakcekapan dalam mengutip hasil kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil pendekatan menerusi pendidikan formal dan tidak formal di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta peringkat sekolah menengah dan rendah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Tambah Jais, pendekatan tersebut adalah langkah yang positif untuk mencapai keadilan dan integriti dalam pentadbiran awam serta sektor swasta.
Ujarnya, rakyat digalakkan untuk menyebarkan inisiatif baharu itu dan kesedaran tentang kepentingan pelbagai usaha memerangi rasuah.
“Dengan meningkatkan pemahaman dan kesedaran, orang ramai pasti akan menghargai usaha SPRM dalam memerangi rasuah manakala individu yang mempunyai maklumat wajib membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan cepat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!