Rumah Terbuka Malaysia Madani: Sanusi belum buat keputusan
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor belum memutuskan sama ada akan hadir ke Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, ia berikutan tiada jemputan rasmi dihantar ke pejabat Menteri Besar setakat ini dan jemputan hanya dihantar ke pejabat Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi berkata, beliau akan hadir mengiringi Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sekiranya baginda berkenan berangkat ke majlis berkenaan selaku Menteri Besar.
“Saya ucap terima kasih kerana pilih Kedah sebagai destinasi pertama. Mungkin kemeriahan Syawal masih terasa dan saya harap ramai orang hadir.
“Jemputan rasmi (untuk saya) tak ada tetapi dari segi protokol sepatutnya perlu ada jemputan. Kalau nak jemput secara tak rasmi pun tak ada masalah. Saya difahamkan ada jemputan kepada Tuanku Sultan Kedah, sekiranya Tuanku Sultan tidak berangkat, saya akan pertimbangkan semula,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon pada Khamis.
Muhammad Sanusi berkata, sekiranya tiada jemputan rasmi untuk hadir ke program yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, beliau sedikit pun tidak berkecil hati.
“Kalau tak dijemput secara rasmi saya ada ruang untuk pertimbang hadir atau tidak. Kalau ada jemputan rasmi, saya wajib hadir sebagai Menteri Besar sebab ada kehadiran Perdana Menteri.
“Saya boleh berkawan dengan siapa pun. Bukan nak berkira pasal Sanusi, saya tiada apa-apa. Apabila sudah jadi Menteri Besar perlu fikirkan kedudukan itu mengikut protokol,” jelasnya.
Muhammad Sanusi berkata, bukan niatnya untuk mencari gaduh sempena bulan Syawal yang mulia ini, namun setiap pihak perlu menghormati antara satu sama lain.
“Kita buat apa-apa urusan sentiasa mencari jalan untuk kebaikan, bukan jalan kepada perpecahan, permusuhan atau perbalahan. Tak bagus macam tu,” katanya lagi.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri akan diadakan di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi menyifatkan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan kerana melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!