Dua remaja buat aksi 'wheelie' ditahan
HULU TERENGGANU - Padah menunggang motosikal secara berbahaya dengan membuat aksi 'wheelie', dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun ditahan dalam operasi di Jalan Gaung-Kuala Pueh, Empangan Jenagor di sini pada Rabu.
Dua remaja berkenaan ditahan kira-kira jam 6.15 petang dalam operasi OP Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Hulu Terengganu yang dijalankan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, anggota bertugas mendapati sebuah motosikal ditunggang bersama seorang pembonceng melakukan aksi mengangkat tayar hadapan (wheelie) pada jarak kira-kira 50 meter
"Suspek berjaya ditahan di bahu jalan hadapan Empangan Jenagor, Kuala Berang dan dibawa ke BSPTD Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Suspek juga telah dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk lakukan ujian air kencing dan hasil saringan terhadap suspek adalah negatif," katanya di sini, pada Khamis.
Dalam operasi itu, sebanyak tujuh keping saman dikeluarkan dan sebuah motosikal disita atas pelbagai kesalahan antaranya lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, menunggang motosikal bawah 16 tahun, aksesori tidak sempurna dan tidak memakai topi keledar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!