ABIM desak rejim Qais Saeed bebas tahanan politik tanpa bicara
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar tindakan pemerintah Tunisia rejim Qais Saeed yang bertindak menghalang pimpinan pembangkang melakukan reformasi politik tahanan tanpa bicara.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, warga antarabangsa perlu sepakat mengecam tindakan terbaharu rejim diktator itu yang menghalang pimpinan pembangkang khususnya daripada parti En-Nahda melakukan reformasi politik berkenaan.
"Tindakan ini adalah merujuk kepada kepada tahanan tanpa lunas keadilan undang-undang yang dilakukan rejim diktator Tunisia Qais Saeed minggu lepas yang masih berkuat kuasa hingga hari ini.
"Malah kekejaman berterusan pemerintah Tunisia hari ini seolah-olah telah melenyapkan harapan warga dunia yang mahu melihat episod baharu demokrasi di Tunisia selepas berlakunya Revoulusi Arab Spring yang bermula di Tunisia sejak 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, ABIM turut menggesa badan hak asasi dunia untuk turut sama secara berterusan menyelar tindakan zalim yang dilakukan pemerintah Tunisia yang menekan suara rakyat.
"Dunia harus ingat bahawa Syaikh Rached Ghannouchi merupakan antara tokoh yang memperjuangkan hak asasi rakyat menerusi lunas demokrasi serta menolak penggunaan kekerasan walau dalam apa jua keadaan sekalipun," tegasnya.
Malaysia sebelum ini turut menzahirkan kebimbangan serta kegusaran terhadap perkembangan mutakhir politik di Tunisia berikutan penahanan beberapa tokoh politik utama, antaranya pemimpin parti Ennahda, Rached Ghannouchi yang juga bekas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Tunisia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!