Peluang wakil Selangor dalam e-Sukan
KARNIVAL Pendidikan Sinar Bestari membuka peluang menggilap bakat e-Sukan dalam kalangan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk mewakili negeri Selangor yang akan diketengahkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Presiden Esport Selangor Association (ESS), Abdul Razak Mohd Yusof berkata, sebanyak 16 pasukan terawal dijangka berentap dalam pertandingan e-Sukan yang akan diadakan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari bermula pada 11 hingga 12 Mei ini di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
“Pada pertandingan kali ini, peserta-peserta akan berentap dalam permainan Mobile Legends dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG).
“Kita tidak mahu mereka bermain dan menang sahaja tetapi rekod akan tersimpan dalam portfolio peserta.
“Lebih menarik, rekod tersebut akan dijadikan rujukan dalam proses pemilihan atlet-atlet e-Sukan mewakili negeri Selangor pada temasya Sukma akan datang,” katanya ketika dihubungi.
Justeru, jelas beliau, peserta-peserta yang menyertai Karnival Pendidikan Sinar Bestari berpeluang bergelar atlet negeri pada temasya sukan berprestij peringkat kebangsaan itu.Menurut Abdul Razak, pihaknya sentiasa memantau dan menggilap bakat-bakat e-Sukan dalam pertandingan-pertandingan penganjuran ESS.
Selain pertandingan, beliau berkata, jerayawara berkenaan e-Sukan akan diadakan sebagai nilai tambah bagi menarik pengunjung pada karnival pendidikan terbesar di Selangor itu.
“Pengunjung boleh merasai pengalaman bermain permainan bola sepak FIFA secara percuma melalui platform PlayStation.
“Kita menjangkakan bukan sahaja peserta akan ramai malah pengunjung kerana e-Sukan sangat dekat dan popular dalam kalangan pelajar-pelajar serta mahasiswa IPT,” ujarnya.
Penganjuran karnival pendidikan tersebut adalah kerjasama antara Kumpulan Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) yang mengetengahkan tema ‘Memacu Pendidikan Generasi Digital’.
Pelbagai aktiviti menanti pengunjung termasuk jualan buku Karangkraf Mall, Sinar Rovers, menunggang kuda, hari kantin sekolah, mini zoo, jualan mega dan pameran bertemakan digital, skil serta kerjaya.
Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan, antaranya pidato, tarian Malaysia, pancaragam, dikir barat, koir, Sinar Bestari Got Talent, kawad kaki dan banyak lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!