Jasad 587 mangsa pembunuhan beramai-ramai digali

No Image Caption
A
A
A

KIGALI - Jasad sekurang-kurangnya 587 orang daripada puak Tutsi yang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai pada 1994, digali di daerah Rusizi di barat Rwanda, lapor Xinhua yang memetik penyiar kebangsaan Rwanda Television pada Rabu.

"Kami telah menemui mayat 587 mangsa pembunuhan beramai-ramai sejak memulakan pencarian pada 23 Mac tahun ini,” kata Oswald Kabera, seorang mangsa yang terselamat dan anggota IBUKA, sebuah organisasi payung persatuan mangsa pembunuhan beramai-ramai, dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata, penemuan mayat itu terbongkar apabila sebuah gereja di daerah itu menjalankan kerja-kerja membuat teres dalam usaha penyediaan tanah untuk pertanian.

"Jasad seorang mangsa pembunuhan beramai-ramai ditemui dalam proses itu dan ini mendorong pihak berkuasa daerah Rusizi untuk memulakan pencarian mangsa pembunuhan beramai-ramai,” kata Kabera.

Jasad mangsa masih ditemui di banyak kawasan di Rwanda, 29 tahun selepas pembunuhan beramai-ramai itu berelaku.

Rakyat Rwanda memulakan aktiviti memperingati ulang tahun ke-29 Genosid 1994 bertema "Remember-Unite-Renew" pada 7 April.

Aktiviti memperingati pembunuhan beramai-ramai itu akan diteruskan sehingga 4 Julai menandakan malapetaka 100 hari, apabila lebih satu juta orang, terutama anggota masyarakat Tutsi dan Hutu dibunuh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!