Hati-hati jika buat pinjaman beli telefon pintar

Laporan akhbar Sinar Harian.
Laporan akhbar Sinar Harian.
A
A
A

ANTARA kepesatan teknologi dan keperluan hidup, kadangkala masyarakat sukar untuk membuat keputusan tepat yang akhirnya paling ditakuti adalah berdepan implikasi kewangan atau beban hutang.

Itulah yang kita lihat akhir-akhir ini. Ada yang sanggup berhutang untuk mendapatkan teknologi terkini terutama memiliki telefon pintar yang lebih mewah.

Ada yang memberikan alasan teknologi terlalu pantas berubah membuatkan gajet perlu ditukar dan mungkin mahu dilihat agar penampilan lebih versatil.

Oleh sebab mahu mengejar gaya hidup, ada yang sanggup berhutang dan lebih malang ada juga yang telah diisytiharkan bankrap oleh agensi kewangan kerana gagal membayar hutang kepada penyedia pinjaman.

Laporan RHB Bank Bhd (RHB) mendedahkan ramai pengguna iaitu peminjam tidak membayar hutang untuk pembiayaan telefon pintar.

Nota penyelidikan yang diterbitkan RHB Investment Bank Bhd kelmarin menunjukkan hasil kajiannya. Jumlah tidak membayar pembiayaan telefon pintar itu membentuk sebahagian besar daripada pinjaman tak berbayar (NPL) dalam negara. Ia memberikan kesan buruk jika tidak diselesaikan dengan baik.

Apa yang kita lihat hari ini adalah terlalu mudah dan banyak tawaran pinjaman serta bayaran ansuran bulanan yang ditawarkan oleh syarikat pinjaman kewangan.

Golongan tidak berkemampuan juga diberikan tawaran, yang akhirnya menjerat pembeli dengan kadar faedah tidak masuk akal.

Memang benar, perjanjian dan persetujuan telah dibuat sebelum aktiviti jual-beli berlaku tetapi berapa ramai antara kita yang membaca dan meneliti sehingga habis kertas perjanjian tersebut.

Dalam keadaan ini, walaupun tidak sebesar mana NPL tetapi ia akan memberikan kesan kepada masyarakat yang menjadi mangsa gagal membayar ansuran bulanan pinjaman.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk meminta agensi kewangan agar mengetatkan lagi pinjaman kepada mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan sahaja.

Bukan bermakna mengehadkan atau menyekat kehendak masyarakat tetapi penggunaan secara berhemah perlu diutamakan. Jika tidak, rakyat akan terus berhutang dan masalah bankrap akan terus berlaku.

Sentiasa beringat supaya ‘ukur baju di badan sendiri’ agar kita hidup gembira tanpa berhutang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!