Cuaca panas bikin hati pun turut sama panas!

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

CUACA panas yang melanda negara ketika ini memang benar-benar mencabar kehidupan seharian rakyat Malaysia. Panas membahang sehinggakan ada aktiviti luar yang dirancang terpaksa ditangguhkan.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan musim panas yang bermula 23 Mac dan dijangka berlarutan sehingga pertengahan Mei ini sedikit sebanyak membatasi pergerakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bayangkan, belum pun masuk petang hari, ada yang sudah tewas lencun berpeluh dan terpaksa menukar pakaian lain.

Bagi Merak Jalanan yang berhari raya nun di utara tanah air, panasnya tak boleh bawa berbincang. Apabila lihat suhu terpapar di skrin telefon bimbit yang mencecah 36 darjah Celsius, memang ‘berasap’ kepala bila berada di luar rumah.

Natijahnya akibat cuaca panas, batuk dan demam menjadi peneman ketika keluarga masih sibuk merayakan Aidilfitri.

Sebenarnya selain cuaca panas, ada beberapa perkara lain yang boleh bikin kita ‘panas’. Contoh terbaik adalah keadaan trafik yang sesak teruk sama ada ketika nak balik kampung atau pulang semula ke ibu kota.

Bayangkan, perjalanan yang biasanya mengambil masa lima hingga enam jam menjadi sekali ganda lamanya. Memang seharianlah berada di atas jalan raya sebelum tiba ke destinasi.

Satu lagi yang boleh buat hati panas apabila ada ahli keluarga yang pulang sesekali tetapi sikapnya aduhai mengalahkan bos besar.

Sudahlah tak mahu tidur di rumah mak ayah, rela menginap di homestay dengan alasan sempit dan nak jaga aurat.

Bila pulang ke rumah sebelah siangnya pula, langsung tak mahu jenguk dapur, menyingsing lengan mencuci pinggan mangkuk, apatah lagi menolong memasak.

Kasihan ibu bapa yang dah tua mahu melepaskan rindu dengan anak cucu tapi terbatas pula masa berharga tersebut kerana si anak memilih duduk bersantai di ‘bilik sejuk’ berbanding berpanas berpeluh di rumah kampung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!