Galeri Nur Raudhah pamer barangan peninggalan Nabi Muhammad

Md Zawawi menunjukkan capal dan kantung isi air peninggalan Rasulullah SAW yang disimpan di Galeri Nur Raudhah.
Md Zawawi menunjukkan capal dan kantung isi air peninggalan Rasulullah SAW yang disimpan di Galeri Nur Raudhah.
A
A
A

AMPANG - Pengetua Rumah Kasih Nurul Hasanah membuka Galeri Nur Raudhah yang menyimpan koleksi barangan peninggalan Nabi Muhammad SAW untuk tatapan umat Islam.

Galeri itu mempamerkan barangan peribadi Rasulullah seperti cemeti, tongkat, capal, serban, kantung isi air, kain penutup makam, rambut dan janggut.

Md Zamawi Ramli berkata, koleksi yang dipamerkan adalah milik seorang pakar arkeologi artifak Islam, Allahyarham Datuk Profesor Dr Abd Manan Embong.

"Allahyarham juga merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang dikira terbanyak memiliki serta menghimpunkan khazanah artifak (barangan peribadi) Nabi Muhammad.

"Artifak-artifak berusia ratusan tahun ini juga telah dikaji oleh Allahyarham Profesor Dr Abd Manan dan mempunyai sijil pengesahan makmal dari luar negara bagi membuktikan ketulenan setiap artifak," katanya ketika ditemui di Galeri Nur Raudhah.

Galeri itu yang ditubuhkan pada awal 2021 turut mempamerkan esktrak peluh nabi dan kayu sugi baginda selain barangan rambut Saidatina Khadijah dan Saidatina Fatimah (hanya boleh dilihat oleh kaum wanita sahaja) dan bekas simpanan susu Saiditina Khadijah.

Kesemua barangan berharga itu dipinjamkan dari Galeri Warisan MAR di Terengganu yang diasaskan oleh Allahyarham Abd Manan yang pernah menjadi Penasihat Muzium Sultan Brunei.

Menurut Md Zawawi, pameran barangan dibuat untuk memupuk dan menambahkan rasa kasih dan cinta terhadap sejarah serta warisan Rasulullah seterusnya mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

"Tiada benda pelik yang menjurus kepada taasub atau yang membawa kepada khurafat kerana ia sekadar berkongsi kepada mereka yang ingin melihat khazanah Islam ini dengan lebih dekat dan percuma tanpa perlu pergi jauh hingga ke luar negara," ujarnya.

Md Zawawi menjelaskan, Galeri Nur Raudhah adalah pemegang amanah bagi memastikan semua simpanan dan athar (sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW atau para sahabat dan sebagainya) Rasulullah dalam keadaan sempurna, baik serta selamat.

"Galeri ini juga berperanan dalam pendidikan dan memotivasikan umat Islam ke arah mengenali, menghayati, mengamalkan segala sunnah baginda dalam kehidupan sekali gus menghayati sirah junjungan.

"Kita juga sedang usahakan untuk wujudkan sebuah kompleks galeri khas yang lengkap untuk menempatkan khazanah ini dengan kemudahan seperti dewan pameran, surau, perpustakaan, bilik audio, video, tayangan, kafeteria, kawasan parkir yang luas dan sebagainya," tambahnya.

Katanya, Galeri Nur Raudhah juga bercadang untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengadakan pameran di luar Selangor dan juga luar negara.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai pameran atau galeri berkenaan boleh menghubungi Md Zawawi selaku pengasas galeri itu menerusi talian 019-3349955.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!