[VIDEO] Beratur panjang dapatkan nasi lemak Sangeeta
SERI KEMBANGAN - Akka Nasi Lemak yang telah diusahakan M Sangeeta, 32, sejak 13 tahun lalu di Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil di sini tiba-tiba diserbu orang ramai selepas tular di media sosial baru-baru ini.
Orang awam tanpa mengira kaum Cina, Melayu dan India dilihat beratur lebih 100 meter bagi mendapatkan nasi lemak itu sewaktu tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan sekitar jam 9 pagi, Khamis.
Seorang pengunjung, K Dhiva, 26, berkata, dia dan suami datang dari Seremban semata-mata mahu mencuba keenakan nasi lemak dimasak orang bukan Melayu itu.
Menurutnya, kebanyakan saudara mara yang telah mencuba nasi lemak tersebut memuji masakan Sangeeta membuatkannya mahu turut mencubanya.
"Saya sudah lama mahu mencuba nasi lemak ini jadi hari ini ada masa terluang, saya dan suami datang dari Seremban ke Seri Kembangan.
"Saya keluar rumah sekitar jam 5 pagi dan sampai saja tengok orang dah beratur walaupun kedai belum buka. Selepas lebih 3 jam beratur baru dapat beli, harap rasanya tidak mengecewakan," katanya pada Khamis.
Seorang kakitangan awam, Hakim Harith Fadzillah, 40, berkata, dia tertarik untuk mencuba selepas terpengaruh dengan kata-kata isteri yang telah mencuba nasi lemak berkenaan.
" Isteri dah beli sebelum ini dan beritahu sedap. Biasa kita makan nasi lemak Melayu, sesekali kita cuba pula hidangan bukan Melayu.
"Masakan India biasanya pedas, saya harap sambalnya pedas dan sedap," katanya.
Seorang jurujual, Kim, 38, berkata, dia baru pertama kali ingin mencuba nasi lemak berkenaan selepas melihat orang ramai beratur panjang di situ.
"Saya suka mencuba makanan baru, jadi apabila lalu sini dan ternampak orang beratur panjang membuatkan saya juga ingin mencuba, " katanya.
Seorang juruaudio, K Logesvaran, 36, berkata, dia yang sedang bercuti di rumah keluarga, mengambil kesempatan mencuba nasi lemak viral itu.
"Saya kerja di Pulau Pinang tapi cuti seminggu di rumah keluarga. Apabila ternampak nasi lemak ini tular di media sosial jadi saya pun ingin mencuba.
"Memang jarang orang India jual nasi lemak, biasa orang Melayu jual, jadi saya nak rasa kelainannya selain beri sokongan kepadanya, " katanya.
Sementara itu, Sangeeta dibantu seorang pekerja dilihat sibuk membungkus nasi lemak dipesan pelanggan yang sabar menunggu giliran walaupun terpaksa manahan terik matahari yang semakin meninggi.
Sangeeta berkata, gerai nasi lemaknya tiba-tiba meletup sebaik tular dan mendapat sambutan sangat menggalakkan hingga dia tidak menang tangan.
Bagaimanapun katanya, dia tidak berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka kedai kerana lebih selesa untuk meniaga di tepi jalan buat masa ini.
"Saya tak mahu buka kedai, berniaga seperti ini pun sudah mencukupi.
"Cuma mungkin akan tambah pekerja satu ke dua orang lagi bagi bantu percepat kerja supaya pelanggan tidak menunggu terlalu lama, " katanya.
Ujarnya, nasi lemak biasa dijual RM3 sebungkus dan setiap hari, dia memasak 70 kilogram beras untuk nasi lemak biasa dan nasi lemak pandan.
"Saya masak bermula jam 12 malam sampai lewat pagi sebelum mula berniaga jam 7 pagi.
"Antara lauk disediakan termasuk ayam kicap, petai ikan bilis, sambal udang, kerang dan sotong, rendang ayam, ayam goreng serta ayam masak merah," katanya.
Katanya, walaupun beroperasi jam 7 pagi namun kebiasaan pelanggan telah beratur lebih awal.
Dia yang membuka meja di kawasan petak parkir kawasan itu setiap hari memberitahu akan berniaga hingga jualan habis sekitar jam 12 tengah hari atau paling lewat jam 4 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!