Syafiq Kyle masih perbaiki kualiti
WALAUPUN sudah lebih tujuh tahun menceburi dunia seni hiburan tempatan, namun pelakon dan naib juara Hero Remaja 2011/2012, Syafiq Kyle mengakui dia masih lagi belajar tentang seni lakon. Akuinya, dalam kesibukan jadualnya, dia masih menyertai kelas seni lakon.
Mungkin kerana kegigihan itulah yang membuatkan lakonannya pada setiap naskhah memberi kesan kepada penonton.
“Sejak dahulu lagi, bila saya mula menceburi bidang lakonan ini memang sudah saya tanam azam dalam diri untuk sentiasa menjadi pelakon yang baik.
“Dalam erti kata lain, saya berusaha untuk mempersembahkan mutu lakonan dengan sebaik-baiknya.
“Untuk itu, saya masih lagi pergi ke kelas lakonan bersama para pengarah dan penerbit yang pernah saya bekerjasama malah kami berdiskusi.
“Ini tidak terhad di kelas lakonan sahaja bahkan, apabila saya berjumpa dengan rakan pelakon lain pun saya akan bertukar pandang mengenai watak masing-masing,” ujarnya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Selain kelas lakonan dan diskusi yang dianjurkan oleh pengarah dan penerbit, pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 27, yang mula melonjak namanya menerusi drama Tanah Kubur dan Mencintaimu Mr. Photographer itu berkata, dia juga mempunyai cara lain tersendiri menerusi pengalamannya setiap kali bercuti di dalam negara ataupun di luar negara.
“Pengalaman sendiri sebenarnya lebih memberi idea kepada saya untuk memperbaiki mutu lakonan. Apabila saya travel, saya lihat dunia luar dan ia membantu saya lihat juga dari pelbagai sudut seperti pelbagai karakter orang yang ditemui. Ia membantu saya menghidupkan watak yang digalas,” katanya lagi.
Jika pelakon lain berasakan ada cabaran apabila berlakon bersama pelapis baharu namun, tidak pada pemenang Bintang Filem MeleTOP itu.
Sebaliknya, pelakon kesayangan ramai itu berasa seronok dan teruja setiap kali berpeluang untuk berlakon bersama pelakon baharu.
Malah katanya, ilmu harus dikongsi bersama-sama, ibarat pokok yang perlu dibaja supaya tumbuh nan mekar.
“Sejujurnya saya rasa lebih seronok bila dapat berlakon dengan mereka ini sebab sifat ingin tahu mereka tinggi.
“Jadi, untuk kekalkan ilmu yang ada dalam diri saya ini kenalah berkongsi dengan mereka,” akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!