Sabah lonjak ke kedudukan ketiga, KL benam PDRM

Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SABAH FC berjaya melonjak ke tangga ketiga Liga Super 2023 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.

Sabah mengumpul 20 mata hanya dipisahkan dua mata dengan Selangor (22 mata) di kedudukan kedua dan Johor Darul Ta'zim selaku pendahulu liga (27 mata), tenang memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri selepas membuka tirai jaringan pada minit ke-24 melalui sepakan penalti Saddil Ramdani.

Kedua-dua pasukan masing-masing kemudian cuba mengatur serangan namun gagal menembusi gawang gol pasukan lawan sehingga wisel separuh masa ditiup.

Bersambung babak kedua, Selangor selaku pelawat tidak menunggu lama untuk merapatkan jurang apabila Mohamad Faisal Abdul Halim berjaya menewaskan penjaga gol Sabah menerusi sepakan kencang luar kawasan kotak penalti pada minit ke-51.

Permainan kian rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum kapten pasukan Sabah Baddrol Bakhtiar menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-66 dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Kuala Lumpur (KL) City FC turut memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri selepas menewaskan PDRM FC 3-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Tiga gol tanpa berbalas dihasilkan skuad City Boys menerusi Romel Morales pada minit ke-14, Paulo Josue (minit ke-26) dan Kipre Tchetche (minit ke-87) sudah memadai buat skuad itu membawa pulang tiga mata penuh.

Sementara itu, hasrat Kuching City FC untuk menamatkan kemarau kekalahan pasukan selepas mengharungi 10 perlawanan liga terbantut selepas tewas di tangan Penang FC 1-2 pada aksi di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Kuching City membuka tirai jaringan menerusi Abu Razard Kamara seawal minit ke-14 sebelum dibalas dua gol tuan rumah menerusi Khairul Akmal Rokisham pada minit ke-45 dan Soony Saad pada minit ke-51. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!