Dana RM550 juta, geran RM100 juta untuk pekebun kecil sawit
PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini mengumumkan dana pinjaman mudah sebanyak RM500 juta bagi penanaman semula sawit oleh pekebun kecil persendirian dengan kadar faedah rendah dua peratus setahun.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, program pinjaman mudah ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan para pekebun kecil dalam melaksanakan penanaman semula sawit.
"Di samping itu, dana pinjaman mudah sebanyak RM50 juta juga disediakan pada kadar faedah dua peratus setahun bagi membiayai input dan bahan penanaman sawit dengan penggunaan benih yang disahkan serta baka yang berkualiti dan terkini," katanya.
Menurut Guan Eng, bantuan untuk pekebun sawit itu diperkenalkan atas keprihatinan kerajaan terhadap keadaan semasa yang dihadapi oleh pengusaha sawit berikutan harga komoditi minyak sawit yang rendah.
"Penyediaan dana pinjaman mudah dan bantuan terutamanya kepada pekebun kecil untuk penanaman semula adalah selaras dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menjamin kebajikan pengusaha sawit dan pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sawit mampan utama di dunia," katanya.
Dalam kenyataan yang sama Guan Eng turut mengumumkan geran RM100 juta untuk pengusaha sawit yang mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).
"Di bawah dasar ini, kerajaan akan menanggung 100 peratus kos pensijilan MSPO daripada 70 peratus sedia ada bagi pengusaha sawit yang mempunyai saiz penanaman sederhana (40 - 1000 hektar).
“Kerajaan juga akan menambahkan bantuan untuk kos pengauditan daripada 30 peratus kepada 50 peratus. Insentif ini akan dibayar setelah pengusaha berjaya mendapat pensijilan," katanya.
Tambah Guan Eng Kementerian Kewangan mengalu-alukan pengiktirafan sawit Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk pemeteraian memorandum persefahaman di antara Malaysia dan China pada Khamis yang melibatkan pembelian tambahan 1.9 juta tan minyak sawit Malaysia dengan anggaran nilai RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun (2019 – 2023).
Justeru, katanya, penambahbaikan bantuan kepada pengusaha sawit terutamanya golongan pekebun kecil persendirian bertujuan memastikan pertumbuhan permintaan minyak sawit Malaysia tidak hanya dinikmati syarikat besar.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!