Jadual padat beri kesan kepada United

Ten Hag (kiri) mengakui jadual padat menyebabkan pemain berdepan kesukaran untuk memberikan permainan yang baik. - Foto EPA
Ten Hag (kiri) mengakui jadual padat menyebabkan pemain berdepan kesukaran untuk memberikan permainan yang baik. - Foto EPA
A
A
A

ERIK ten Hag menyifatkan beberapa pemainnya gagal memberikan persembahan 100 peratus selepas Manchester United mensia-siakan kelebihan dua gol ketika seri 2-2 dengan Tottenham Hotspur pada awal pagi Jumaat.

United seharusnya mampu menghadirkan tekanan kepada Spurs yang sedang berdepan prestasi tidak menentu di Stadium Tottenham Hotspur selepas mendahului 2-0 menerusi jaringan Jadon Sancho dan Marcus Rashford.

Namun, pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi Pedro Porro dan Son Heung-min.

"Kami mempunyai jadual paling teruk dalam Liga Perdana Inggeris dan itu tidak akan berubah. Tetapi, kami perlu menerimanya. Ia tidak boleh dijadikan alasan.

"Masa cukup untuk pemain pulih dan mereka perlu bersedia. Namun, pemain tidak melakukannya hari ini dan kami hilang fokus.

"Saya tahu mereka bukan robot dan ia adalah jadual yang sukar. Tetapi apabila anda bermain untuk United dan bermain di tempat lawan, anda perlu memberikan semua yang ada," katanya.

United kekal enam mata di atas Spurs dan berada di kedudukan kelima liga serta mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan berbanding pasukan kendalian Ryan Mason itu.

Dalam pada itu, Mason gembira dengan semangat yang ditunjukkan para pemain sehingga mampu mengikat United.

"Saya telah banyak mendengar tentang kekurangan keyakinan dalam diri pemain tetapi saya tahu saya mereka mampu bermain dengan baik sebagai satu pasukan.

"Itu adalah tugas saya untuk memberi inspirasi kepada mereka supaya setiap kali turun bermain, pemain akan beri yang terbaik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!