Tiga jam berbaloi ditonton

Siri Avengers akhirnya menutup tirai menerusi Marvel Studios’ Avengers: Endgame.
Siri Avengers akhirnya menutup tirai menerusi Marvel Studios’ Avengers: Endgame.
A
A
A

SETELAH menghibur dan memberi pelbagai rasa kepada penonton setianya sejak lapan tahun lalu, siri Avengers akhirnya menutup tirai menerusi Marvel Studios’ Avengers: Endgame.

Penulis pasti, peminat setia filem ini mahupun yang pernah menonton, mengingati kacau bilau yang berlaku dalam filem Avengers: Infinity War tahun lalu.

Segalanya berpunca setelah supervillian, Thanos berjaya mengumpulkan enam Batu Infiniti iaitu space, reality, time, power, mind dan soul.

Ia menyebabkan Thanos telah melenyapkan 50 peratus kehidupan di bumi termasuk beberapa anggota The Avengers dan beberapa adiwira lain seperti Star-Lord, Doctor Strange, Black Panther, Spiderman serta ramai lagi.

Pastinya hanya setakat itu yang penonton dan peminat tahu mengenai apa yang berlaku dalam ‘Marvel Cinematic Universe’ (MCU).

No Image Caption

Perjalanan filem ini akan dinoktahkan dengan misi terakhir oleh anggota The Avengers yang tinggal iaitu Captain America, Iron Man, Thor, Hulk (Dr Bruce), Hawkeye dan Black Widow yang berusaha menjejaki Thanos.

Bagaimanapun perjalanan itu tidak mudah kerana mereka juga berdepan dengan pelbagai dugaan.

Artikel Berkaitan:

Masih mengekalkan adik-beradik Anthony dan Joe Russo selaku pengarah, filem ini akan mengekalkan teraju utama Robert Downey Jr., Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Chris Evans, Scarlett Johansson dan bagi mereka yang tahu, tentu sekali Brie Larson sebagai Carol Danvers atau Captain Marvel, yang dihubungi Nick Furry pada babak terakhir Avengers: Infinity War.

Bagi yang belum menonton, penulis berpegang kepada janji untuk tidak memberi sebarang bayangan mengenai filem ini.

Apa yang boleh penulis katakan, tiga jam dan dua minit durasi filem ini sangat berbaloi untuk ditonton serta penulis tidak merasakan terlalu lama menyaksikan filem ini.

Pada pandangan penulis Anthony dan Joe telah mengambil iktibar daripada filem Avengers yang terdahulu, di mana mereka tidak meletakkan ruang dan peluang untuk penonton merasa bosan atau babak tertentu tidak perlu diwujudkan.

No Image Caption

Sebaliknya, penonton akan dibuai dengan emosi bak ‘roller coaster’. Jangan terkejut ketika ditampilkan babak komedi, sekelip mata emosi anda akan dijentik dengan rasa sedih.

Setiap watak digarap lebih matang bukan sahaja dari segi sikap, bahkan rupa.

Namun sebagai manusia biasa, filem ini juga tidak lepas dengan kekurangannya namun penulis rasa hanya pada kesan khasnya dan garapan beberapa babak sahaja. Tapi kekurangan itu boleh dimaafkan kerana tidaklah sehingga mengganggu jalan cerita atau mencacatkan sesebuah babak itu.

No Image Caption

Orang kata, boleh tutup sebelah mata dan dilupakan sebaik keluar panggung kerana ada lebih besar daripada itu yang akan diingati oleh peminat setia Marvel selepas ini.

Hanya ada dua spoiler yang ingin penulis kongsikan di sini iaitu pertama, tiada babak akhir seperti kebiasaannya yang anda akan lihat pada babak akhir filem-filem Avengers sebelum ini. Kedua, bawa tisu.

Bagi anda yang ingin menonton tetapi ragu-ragu kerana mungkin terlepas menonton filem berkaitan Avengers seperti Captain Marvel, jangan bimbang kerana anda masih boleh memahami keseluruhan jalan cerita.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!