Masalah air keruh, berkeladak selesai - Air Selangor
SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah melakukan aktiviti pelepasan air (flushing) di jajaran paip bagi menangani isu air keruh dan berkeladak di sekitar Sekinchan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, kerja-kerja pemulihan itu dilakukan bagi tujuan kawalan kualiti air.
"Hasil pelepasan air itu membolehkan kualiti air kembali pulih sepenuhnya jam 5.30 petang pada Selasa lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Abas memberitahu, setiap kali musim perayaan terdapat peningkatan permintaan bekalan air.
Sehubungan itu, katanya, Air Selangor membuat persediaan awal dengan menambah bekalan air terawat ke Sabak Bernam tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Malah, jelas beliau, pemantauan dan kerja-kerja pelepasan air secara manual di jajaran paip yang terlibat juga telah dijalankan di tujuh lokasi semasa tambahan bukaan injap dilakukan bagi tujuan kawalan kualiti air.
"Bagaimanapun, tiada sebarang aduan kualiti air diterima sepanjang tempoh tersebut, namun aduan kualiti air mula diterima pada Isnin lalu," jelas beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, penduduk di Kampung Sungai Leman di Sekinchan mengeluh berikutan menerima bekalan air keruh sejak 1 Syawal lalu.
Rata-rata penduduk mendakwa, masalah air berubah warna itu merisaukan mereka lebih-lebih lagi penggunaan keperluan asas itu meningkat sepanjang perayaan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!