11 maut, 9 hilang bot penumpang karam
JAKARTA - Sebuah bot laju penumpang yang terlebih muatan karam di perairan wilayah barat Riau, Indonesia pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang dan lebih sembilan lagi hilang, lapor Xinhua memetik seorang penyelamat.
Bot laju, SB Evelyn Calisca 01, karam di perairan Pulau Burung daerah Indragiri Hilir, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari sebuah pelabuhan di daerah itu. Bot itu sedang menuju ke sebuah pelabuhan di Tanjung Pinang, ibu kota wilayah Kepulauan Riau, kata I Nyoman Sidakarya, ketua pejabat mencari dan menyelamat wilayah.
"Kini, jumlah korban mencecah 11 orang, dan lebih 9 lagi disahkan hilang,” katanya dalam kenyataan yang diterima Xinhua.
Sidakarya berkata, jumlah korban dan orang hilang mungkin meningkat kerana ramai penumpang tidak disenaraikan dalam senarai penumpang.
Beliau berkata, 58 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat bersama terdiri daripada pejabat mencari dan menyelamat, tentera, polis dan sukarelawan.
Pejabat mencari dan menyelamat akan menunggu laporan daripada saudara atau keluarga mengenai kehilangan anggota mereka dalam beberapa hari akan datang, menurut Kukuh Widodo, pegawai akhbar di pejabat mencari dan menyelamat di wilayah Riau kepada Xinhua melalui telefon.
"Bot laju ini terlalu kecil untuk membawa lebih 80 orang. Ia membawa terlalu ramai penumpang," katanya. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!