Cuaca panas: Rakyat Kelantan diminta hadkan aktiviti luar

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat di Kelantan diminta mengehadkan sebarang aktiviti luar berikutan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia yang boleh mengundang kesan terhadap kesihatan daripada tahap sederhana sehingga membawa maut akibat strok haba.

Katanya, semua lapisan masyarakat berisiko menjadi mangsa cuaca panas terutamanya mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar, kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, penghidap penyakit sistem penafasan, penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan tiroid selain orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas.

"Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian tebal dan ketat yang boleh menghalang haba keluar daripada penyejatan dan pengeringan peluh sekali gus mengundang kepada sakit kepala, keletihan, lemah tumpuan, pening, lemah otot-otot atau kekejangan, selain mual dan muntah.

"Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, antara cara untuk mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau ialah minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang dilakukan dan jangan tunggu sehingga berasa dahaga.

"Selain itu, masyarakat diminta berada di dalam rumah atau bangunan, selain kerap berehat, mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan termasuk pakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar.

"Elakkan minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi dan berada di dalam kereta yang tertutup serta bersenam pada cuaca panas," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kematian dua kanak-kanak iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia di Klinik Kesihatan Balai, Bachok dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dari Kampung Kota, di sini, meninggal dunia Selasa lepas yang dikaitkan akibat strok haba.

Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), suhu di Kelantan hari ini hingga Khamis depan mencecah 34 darjah Celsius. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!