Daftar sistem GeoTanaman elak lambakan hasil pertanian
PUTRAJAYA - Pihak yang terlibat di dalam industri agromakanan terutamanya para petani, pemborong dan pembekal input pertanian digesa untuk mendaftar secara percuma di sistem GeoTanaman.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, langkah itu bagi memastikan ketersediaan input pertanian dan maklumat pengeluaran tanaman makanan dapat disediakan secara masa nyata seterusnya mampu mengatasi isu lambakan hasil tanaman.
Menurutnya, pendaftaran GeoTanaman menerusi pautan https://geotanaman.doa.gov.my merupakan langkah intervensi jangka panjang sebagai solusi kepada isu.
"Sistem ini telah dibangunkan sejak tahun 2022 dan petani dapat merancang penjadualan tanaman makanan mengikut permintaan serta penawaran," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Sistem GeoTanaman juga dapat membantu pengusaha mengurangkan lambakan hasil dengan meluaskan ruang pasaran melalui padanan pasaran secara e-dagang melalui transaksi secara terus dengan pemborong.
"Jabatan Pertanian Malaysia juga dapat memberikan khidmat pengembangan pertanian kepada para petani yang mendaftar melalui sistem ini dengan mengenal pasti secara spesifik lokasi kebun dan menghantar notifikasi berkaitan perkhidmatan yang diperlukan melalui telefon mudah alih yang didaftarkan," katanya.
Tambah beliau, para petani juga disarankan untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan memohon pensijilan myGAP dan merancang penjadualan penanaman mengikut kehendak pasaran bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.
Jabatan Pertanian Malaysia sentiasa fokus bagi memastikan pengeluaran makanan negara adalah berkualiti, selamat dan mencukupi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!