UMP lancar kolej kediaman berkonsep wakaf pertama di negara ini

Wan Rosdy meninjau bilik-bilik yang menempatkan pelajar di Kolej Kediaman Mawaddah UMP kampus Pekan sempena majlis pelancarannya pada Jumaat.
Wan Rosdy meninjau bilik-bilik yang menempatkan pelajar di Kolej Kediaman Mawaddah UMP kampus Pekan sempena majlis pelancarannya pada Jumaat.
A
A
A

PEKAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melakar sejarah tersendiri melalui pelancaran kolej kediaman berkonsepkan wakaf yang pertama di negara ini pada Khamis.

Kolej Kediaman Mawaddah yang mula dibina sejak 2017 kini siap sepenuhnya dan telah dibuka kepada pelajar termasuk untuk pengambilan pelajar baharu September ini.

Ia memiliki 110 bilik dan mampu menempatkan 220 pelajar dengan keutamaan asalnya kepada pelajar dalam kalangan keluarga asnaf.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif UMP itu wajar dicontohi institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini.

Menurutnya, kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia membantu mana-mana IPT yang berhasrat untuk membangunkan penginapan wakaf seumpama itu.

Kolej Kediaman Mawaddah UMP kampus Pekan menjadi kolej kediaman berkonsepkan wakaf pertama di negara ini.
Kolej Kediaman Mawaddah UMP kampus Pekan menjadi kolej kediaman berkonsepkan wakaf pertama di negara ini.

"Inisiatif ini amat baik dan kerajaan negeri Pahang tiada masalah untuk menyokong usaha tersebut.

"Pelajar dalam kalangan keluarga asnaf sewajarnya dibantu bukan sahaja dalam aspek pendidikan tetapi juga dalam aspek lain termasuk kebajikan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kolej Kediaman Mawaddah UMP dan Sambutan Aidilfitri peringkat universiti itu di UMP kampus Pekan di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pro Canselor UMP, Tan Sri Dr Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Wan Rosdy berkata, tidak semua pelajar dalam kalangan keluarga asnaf akan ditempatkan di kediaman itu sebaliknya mereka juga dicadangkan diletakkan di kolej-kolej kediaman lain.

"Cadangan itu amat baik kerana ia akan memberi peluang kepada pelajar terlibat bergaul dengan pelajar-pelajar lain," ujarnya.

Sementara itu, Yuserrie berkata, Kolej Kediaman Mawaddah dilancarkan itu merupakan inisiatif pihak pengurusan UMP yang prihatin terhadap kebajikan mahasiswa.

Menurutnya, projek pembangunan kolej penginapan di atas tapak seluas 0.8 hektar itu merupakan inisiatif bersama pengurusan universiti dan Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bagi membantu mahasiswa yang berkeperluan dan mempunyai masalah kewangan.

"Kolej kediaman ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan fasiliti, sokongan akademik, aktiviti sosial, kegiatan sukan dan kegiatan kebajikan.

"Ia dibuka kepada semua pelajar berkeperluan, namun keutamaannya kepada kumpulan pelajar asnaf dan anak yatim," ujarnya.

Tambah beliau, mahasiswa yang akan atau telah mendiami kolej kediaman itu secara sukarela terlibat dalam wakaf tunai melalui yuran asrama

"Amalan wakaf tunai daripada setiap mahasiswa tersebut akan meringankan perbelanjaan UMP dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan dan kebajikan pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Wan Rosdy menyempurnakan upacara penanaman pokok sempena Majlis Pelancaran Kolej Kediaman Mawaddah UMP kampus Pekan pada Jumaat.
Wan Rosdy menyempurnakan upacara penanaman pokok sempena Majlis Pelancaran Kolej Kediaman Mawaddah UMP kampus Pekan pada Jumaat.

"Saya percaya penerimaan dan penglibatan mahasiswa dalam wakaf tunai ini akan memberi impak positif kepada pembangunan UMP.

"Dana wakaf tunai yang diterima itu akan digunakan sebagai pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan lain oleh pihak UMP," katanya.

Menurutnya lagi, konsep Mawaddah juga sejajar dengan pengamalan konsep kasih sayang dalam mewujudkan suasana saling memahami dan saling menghargai di antara penghuninya.

"Selain itu ia juga dapat membina jati diri para pelajar dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan dan kemahiran sosial serta memberikan pengalaman pembelajaran secara komprehensif dan tuntas untuk mereka," katanya.

Beliau berkata, UMP menghargai sokongan pihak Muip yang meluluskan permohonan derma wakaf sejak September 2016.

"Saya juga berharap pihak pengurusan akan terus bekerjasama erat dengan Yayasan UMP bagi memastikan aspirasi dan agenda pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah melalui penggemblengan usaha warga kerja UMP di semua lapisan secara menyeluruh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!