[VIDEO] Musim raya paling 'panas', kata Rafizi

Rafizi - Foto fail Bernama
Rafizi - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan perayaan Aidilfitri tahun ini sebagai musim raya paling panas dalam sejarah negara.

Ia susulan keadaan cuaca panas di beberapa tempat selain suhu politik yang meledak berikutan pengajuran Rumah Terbuka Aidilfitri Madani di enam negeri menjadi pertikaian dan modal politik.

Sambil menasihati agar rakyat tidak lupa meminum air kosong untuk mengelakkan dehidrasi, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menolak dakwaan penganjuran rumah terbuka tersebut sebagai kempen politik menjelang pilihan raya negeri (PRN) membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Menerusi rakaman video yang disiarkan di TikTok pada Jumaat, Rafizi menjelaskan bahawa keputusan jemaah menteri untuk mengadakan rumah terbuka di negeri berkenaan adalah kerana perbelanjaan yang lebih murah berbanding dibuat sebelum ini di Putrajaya.

"Rumah Terbuka di Putrajaya sebelum ini yang dianjurkan oleh kerajaan yang dianggotai Perikatan Nasional (PN) sebenarnya lebih mahal kerana ia melibatkan 100,000 kehadiran.

"Kehadiran di enam rumah terbuka yang dipertikaikan ini adalah untuk kehadiran 10,000 setiap satu, sebab itu kosnya lebih murah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan hanya menanggung belanja sepenuhnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah sahaja manakala Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dikendalikan dan dibayar oleh kerajaan negeri.

"Kalau kerajaan persekutuan tidak turun ke Kelantan, Terengganu dan Kedah, mereka pertikai kata kami pinggirkan rakyat negeri pembangkang.

"Apabila kami turun menyantuni rakyat, mereka kata kami membazir dan berkempen," katanya.

Ujar Ahli Parlimen Pandan itu, siri pertikaian oleh PN tidak akan tamat kerana itu merupakan asam garam politik.

"Sebelum ini mereka kata kerajaan persekutuan tidak bagi peruntukan.

"Apabila saya jawab di Parlimen bagaimana Kelantan, Terengganu dan Kedah dapat keutamaan dan peruntukan yang lebih banyak, mereka kata itu belum cukup sebab Sabah Sarawak dapat lebih banyak," katanya.

Beliau berpandangan kerajaan persekutuan dan negeri perlu menumpukan perhatian terhadap tanggungjawab masing-masing.

"Kami ada tanggungjawab seperti membaiki ekonomi, mengurangkan hutang negara dan memastikan kebajikan rakyat terjaga," katanya.

Pada akhir rakaman, Rafizi turut membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempunyai tanggungjawab bagi memperbaiki perkhidmatan air bersih di negeri itu.

"Jangan sampai berulang lagi rakyat Kedah beraya tanpa bekalan air macam tahun ini," sindir beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!