'Kami mahu perlawanan yang adil'

Selangor terpaksa akur tewas 1-2 kepada Sabah di Likas.
Selangor terpaksa akur tewas 1-2 kepada Sabah di Likas.
A
A
A

TONGGAK Selangor FC, Faisal Halim meluahkan rasa kecewa dalam perlawanan yang menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Khamis.

Menurutnya, pasukan telah bekerja keras untuk cuba mencari tiga mata, namun terpaksa pulang hampa dengan perjalanan perlawanan yang dianggap kurang adil buat Gergasi Merah.

"Kami bekerja keras, kita berusaha. Saya terima kekalahan ini, tetapi bukan bermakna kami tidak bagus. Selangor sudah cuba yang terbaik, namun saya kecewa dengan cara kami kalah.

"Semua orang dah tahu setiap tahun perkara sama yang berulang. Saya sebagai pemain, kalau saya cakap 'direct', saya tidak ada duit untuk bayar denda atau sebagainya. Tetapi, saya merayu dan berharap perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Dalam perlawanan itu, Sabah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24 sebelum Faisal menyamakan kedudukan menerusi sepakan dari luar kotak penalti tujuh minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Baddrol Bakhtiar memastikan Sabah terus kebal di gelanggang sendiri apabila meledak gol kemenangan melalui sepakan percuma sekali gus memberikan tiga mata berharga kepada The Rhinos.

Beberapa insiden yang tidak mendapat perhatian pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir mungkin menjadi pertikaian yang menimbulkan rasa kurang senang buat pasukan Selangor.

Dalam masa sama, Faisal mengharapkan perubahan boleh berlaku dalam mutu pengadilan agar perlawanan lebih adil dapat diberikan kepada semua pasukan.

"Kalau perlawanan yang adil kami kalah 5-0, 10-0 tak apa kami terima. Tetapi, cara begini, kami sangat kecewa dan kami tak boleh terima.

"Tetapi, ini bola sepak apa yang boleh kami buat keputusan dah tertulis dan kami kena terima kekalahan ini

"Saya tak perlu cakap lebih, ada siaran langsung hari ini. Semua orang boleh melihat sama ada pasukan Selangor tak bagus untuk menang atau sebaliknya. Semua orang boleh menilai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!