8,616 individu bekerja sendiri sudah carum SKSPS

Farihah (tiga dari kiri) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat kepada balu Allahyarham Subhi Sayuti ketika mengunjungi keluarga itu di Marang.
Farihah (tiga dari kiri) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat kepada balu Allahyarham Subhi Sayuti ketika mengunjungi keluarga itu di Marang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 8,616 individu yang bekerja sendiri di Terengganu telah mengambil inisiatif mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada tahun lepas.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, caruman itu melibatkan pekerja dalam sektor gig, tani, jaja, lain upaya, seni, orang asal, pelancongan dan usahawanita.

“Pada bulan pertama tahun ini pula, seramai 297 orang sudah mencarum SKSPS dan kita harap lebih ramai individu yang bekerja sendiri mencarum supaya mendapat perlindungan semasa bekerja.

“Jumlah ini sebenarnya masih rendah, saya percaya masih ramai individu di luar sana yang belum mencarum, jadi ambil lah peluang ini kerana banyak manfaatnya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 dan Kotak Prihatin kepada Norhaliza Henderi, 27, balu kepada Subhi Sayuti Abd Ghani, 43 yang maut dalam kemalangan di Taman Hidayah, Marang, pada Khamis.

Menurut Farihah, melalui semakan Skuad Perkeso Prihatin, Allahyarham sebelum ini merupakan pencarum Perkeso di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Beliau berkata, selepas berhenti, Allahyarham bekerja sebagai pemandu Grab dan aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Katanya, oleh kerana Allahyarham pernah mencarum dengan majikan sebelum ini telah melayakkan waris untuk menerima faedah pencen penakat di bawah Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Arwah meninggalkan balu dan seorang anak, Mohd Naufal, 3. Balu juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat dan pencen bernilai RM1,475 sebulan.

“Pencen penakat akan diterima oleh balu seumur hidup manakala anak pula akan menerima sehingga umur 21 tahun dan sekiranya masih belajar, pencen dibayar sehingga ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

Dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga, Marang pada 19 April lalu, Subhi Sayuti maut di lokasi kejadian akibat cedera di kepala.

Anaknya, Syuhada Hafiya, 7, pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung mereka di Taman Hidayah, Marang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!