Orang asli diberi kelonggaran ikuti TVET

Kulasegaran (dua, kanan) merasmikan program taklimat TVET untuk pelajar dan ibu bapa orang asli anjuran Persatuan Orang Asli Perak (POAP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perak di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak, Simpang Pulai, semalam.
Kulasegaran (dua, kanan) merasmikan program taklimat TVET untuk pelajar dan ibu bapa orang asli anjuran Persatuan Orang Asli Perak (POAP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perak di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak, Simpang Pulai, semalam.
A
A
A

SIMPANG PULAI - Kementerian Sumber Manusia memberi kelonggaran kepada belia dalam kalangan orang asli untuk mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua institusi kemahiran di seluruh negara.

Menterinya, M Kulasegaran berkata, mereka boleh mengikuti sijil latihan kemahiran dengan diberi pengecualian untuk lulus mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Kemasukan TVET perlu lulus dalam Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain tetapi untuk mereka (orang asli), mereka hanya perlu tahu membaca dan menulis selain dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kita akan menimbang semua perkara termasuk elaun kewangan yang diperlukan sepanjang mereka menjalani pengajian di TVET,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program taklimat TVET untuk pelajar dan ibu bapa orang asli anjuran Persatuan Orang Asli Perak (POAP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perak di Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli Perak di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi POAP, Datuk Suki Mee dan Pengarah ILP Perak, Jamil Yahya.

Menurutnya, statistik menunjukkan kurang 10 pelajar orang asli terlibat dalam kursus-kursus pengajian yang disediakan oleh kementeriannya.

“Kelonggaran syarat kemasukan dan belanja pengajian yang ditampung sepenuhnya oleh kerajaan dapat menggalakkan mereka untuk menyertai latihan kemahiran itu.

"Tiada sebarang kuota yang ditetapkan untuk kemasukan mereka dan kita juga tidak menyasarkan jumlah mereka. Berapa ramai pun yang mahu turut serta amat dialu-alukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kulasegaran berkata, penglibatan orang asli dalam bidang kemahiran boleh mengubah status dan taraf hidup golongan itu.

“Daripada 60,000 masyarakat orang asli di negara ini, 30 peratusnya adalah belia. Daripada jumlah itu tidak sampai dua peratus yang berjaya dalam bidang diceburi.

“Dengan mengikuti skim latihan ini, mereka dijamin mendapat pekerjaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!