Konflik Sudan: 'Jalan digunakan sempit, penuh berliku'

Muhammad Muaz
Muhammad Muaz
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Keadaan jalan yang digunakan oleh kenderaan ketika operasi menyelamat menuju ke Pelabuhan Sudan itu disifatkan sebagai sempit dan penuh berliku umpama duduk di kerusi urut.

Salah seorang rakyat yang berjaya pulang akibat konflik di Sudan, Muhammad Muaz Ahmad Zahari, 18 berkata, perjalanan itu amat memenatkan semua orang kerana ia memakan masa selama 48 jam untuk tiba ke destinasi.

"Kita awal pagi daripada Khartoum, Sudan naik bas. Ada dua bas yang bawa kita dan perjalanan itu ambil masa selama dua hari.

"Bas itu kemudiannya berhenti pada waktu malam dalam jam 1 pagi kemudian sambung bergerak pada jam 5 pagi.

"Jalan di situ tak stabil dan setiap kali berjalan itu, rasa macam duduk di kerusi urut. Keadaan jalan di situ saya tengok macam tak elok walaupun jalan tar," katanya kepada Sinar Harian di ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa seramai tiga puluh rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan, negara yang dilanda konflik itu dijangka tiba di tanah air pada hari ini.

Menurutnya, mereka terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar.

Beliau berkata, mereka adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia hari ini, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Sementara itu, Muhammad Muaz yang berasal daripada Terengganu itu berkata, ini merupakan pengalaman kali pertama berdepan dengan situasi seperti di Sudan itu.

Muaz yang baharu sahaja melanjutkan pelajaran di Sudan kira-kira tiga minggu yang lalu itu, turut berdepan dengan situasi mencemaskan ketika menyambut perayaan di negara berkenaan.

Menurutnya, mereka pernah menjadi sasaran kepada peluru sesat dan diminta berlindung dalam surau yang berdekatan.

"Masa itu kita ada di Kompleks Petronas Sudan kemudian kita diminta pergi ke surau sebab ada dengar mereka (tentera) naik ke perumahan sebab nak ambik bangunan yang tinggi.

"Bila kita dapat info itu, kita semua berlari duduk dalam surau tu selama tiga hari.

"Selepas tiga hari kita dalam surau itu, kita dengar mereka berehat tiga jam, jadi kita ambil kesempatan masa itu, lari ke rumah kedutaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!