LHDN peruntuk RM60,000 bantu keluarga miskin

Amiruddin (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Timah ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tradisi Lembah Keriang, semalam.
Amiruddin (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Timah ketika ditemui di rumahnya dekat Kampung Tradisi Lembah Keriang, semalam.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperuntukkan kira-kira RM60,000 bagi membantu keluarga kurang berkemampuan di Kampung Tradisi Lembah Keriang, di sini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pihak LHDN menyantuni dan memberi sumbangan kepada 30 keluarga kurang berkemampuan untuk meringankan bebanan mereka.

Katanya, seramai tujuh keluarga menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, dapur, mesin basuh dan peti ais bergantung kepada keperluan keluarga itu.

"Malah, sukarelawan LHDN turut melakukan gotong-royong demi membersihkan kawasan rumah tujuh keluarga penerima melalui bantuan rumah ke rumah.

"Selebihnya, seramai 23 lagi keluarga terpilih menerima bantuan berbentuk wang tunai," katanya pada sidang media selepas Program Tanggungjawab Sosial di Dewan Orang Ramai Kampung Tradisi Lembah Keriang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Profiling LHDN, Suhaili Sudin, Pengarah Pejabat Kedah/Perlis LHDN, Hishamudin Mohamed dan Pengarah Cawangan Alor Setar, Roside Jansi.

Malah beliau berkata, sumbangan turut diberikan kepada masjid dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Kampung Tradisi Lembah Keriang tersebut.

Katanya, inisiatif berkenaan diambil bagi membantu mereka memerlukan sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Malah, ia merupakan serampang dua mata untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa LHDN juga amat aktif melakukan program kemasyarakatan demi membantu penduduk," katanya.

Sementara itu, penerima, Timah Kassim, 69, berkata, dia tinggal di rumahnya yang uzur bersama anak lelaki, Mohd Zamri Ahmad, 29, dan tiga cucu.

Katanya, dia terpaksa menggunakan baldi untuk menadah air setiap kali hujan, malah beberapa bahagian rumah turut mengalami kerosakan.

"Jadi, apabila semua orang turun padang lawat dan bantu, kami rasa bersyukur tidak terhingga kerana tidak perlu dibasahi air hujan lagi selepas ini," katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih atas keprihatinan LHDN dan Pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu yang prihatin terhadap nasib mereka lima beranak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!