30 Ahli Parlimen BN akan terus sokong PM Anwar - Zahid
ALOR SETAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipertahankan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut beliau, selagi dirinya memegang jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, kesemua 30 Ahli Parlimen BN akan terus memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Tambun itu.
Ahli Parlimen Bagan Datok itu turut mengakui, tugas untuk mempertahankan kerajaan ketika ini merupakan antara cabaran parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dalam tempoh enam bulan pertama selepas PRU15.
Bagaimanapun, jelasnya, kombinasi yang dibentuk antara BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah merupakan yang terbaik meskipun sebelum ini dirinya pernah 'alergik' dengan parti yang menggunakan warna biru yang lebih muda itu.
"(Kerajaan hari ini) bukan tidak ada cabaran, (memang ada) termasuk baru-baru ini (wujud laporan) kononnya 15 orang ahli Parlimen BN hendak letak jawatan, (dan berikan laluan) kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).
"Saya tidak mahu mendahului hukum ALLAH, (tetapi) insya-ALLAH sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, saya akan mempertahan semua Ahli-Ahli Parlimen BN (dan mereka) akan terus memberikan sokongan kepada Anwar (sebagai Perdana Menteri)," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Madani Kedah di Dataran Stargate, di sini, pada Jumaat malam.
Terdahulu pada majlis sama, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar adalah stabil, utuh dan berfungsi untuk terus mentadbir negara ini.
Jelas beliau, fokus kerajaan ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi, membantu serta menjaga kebajikan rakyat terutamanya selepas pandemik Covid-19.
Sebelum ini, portal berita melaporkan terdapat percubaan untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan oleh gerakan yang disertai beberapa Ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU15. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan Perpaduan berbeza dengan kerajaan terdahulu'
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya bukan pendendam' - Anwar
ARTIKEL BERKAITAN: PM sangkal dakwaan negeri ditadbir pembangkang dianak tiri
ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Kerajaan Perpaduan selesai isu air di Kedah jika diberi mandat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!