Peniaga kedai makan bangga PM sudi nikmati kuetiau kerang
ALOR SETAR - Peniaga kuetiau kerang di Jalan Sultanah Sambungan di sini teruja dan bangga apabila masakan di kedainya dinikmati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat malam.
Pemilik 'Iman Koeyteow Kerang', Othman Rejab, 60 tahun, berkata, menjadi sejarah besar buatnya dan keluarga apabila dapat menghidangkan makanan kepada pemimpin nombor satu negara itu.
Menurutnya, selama berniaga lebih 28 tahun, dia tidak pernah menyangka dan terkejut apabila pertama kali menerima kunjungan pemimpin yang sebelum ini hanya dilihat di kaca televisyen sahaja.
Lebih mengujakan, tambahnya, Perdana Menteri hanya duduk di meja dan kerusi plastik di kedainya, tanpa sebarang hiasan istimewa.
“Saya sebagai rakyat saya rasa terharu, rasa suka benarlah, kerana Perdana Menteri sudi datang ke sini.
"Malam ini Perdana Menteri kita nampak bersahaja dan bersantai dengan rakyat jelata, makan dan bergambar bersama-sama,” katanya.
Turut berkongsi perasaan sama, anak sulungnya, Muhammad Nabil Othman, 28 tahun, yang menggoreng kuetiau untuk dihidangkan kepada Anwar.
Katanya, pengalaman ini akan terpahat sepanjang hidupnya apatah lagi masakannya itu menerima pujian Perdana Menteri.
“Bagi saya, terujalah dengan kedatangan Perdana Menteri secara mengejut macam ini. Dan selama 10 tahun saya masak, ini paling seronoklah.
"Memang kejutan yang besar bagi saya dapat bagi Perdana Menteri makan. Saya memang bersemangat, hendak masak tadi pun rasa terkejut, biar betul benda ini jadi! Tiba-tiba dan tidak dirancang.
"Perdana Menteri cakap pada saya, masakan saya sedap dan minta saya kekalkan. Pujian itu sudah tentu buat saya rasa bangga,” ujarnya.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit menikmati kuetiau kerang, lemang dan sate di kedai berkenaan, diiringi pemimpin lain termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Mereka tiba di kedai makan itu kira-kira jam 11.40 malam.
Anwar turut menyantuni dan bersalaman dengan pengunjung yang berada di kedai terbabit.
Terdahulu, beliau hadir pada program Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate dan singgah sebentar di kedai berkenaan sebelum pulang ke hotel penginapannya. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan Perpaduan berbeza dengan kerajaan terdahulu'
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya bukan pendendam' - Anwar
ARTIKEL BERKAITAN: PM sangkal dakwaan negeri ditadbir pembangkang dianak tiri
ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Kerajaan Perpaduan selesai isu air di Kedah jika diberi mandat
ARTIKEL BERKAITAN: 30 Ahli Parlimen BN akan terus sokong PM Anwar - Zahid
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!