RM1.6 bilion untuk Kedah - PM
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk Kedah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan tahun ini untuk membangunkan Kedah.
Menurutnya, selain peruntukan terbabit, bantuan lain termasuk beberapa projek bekalan air di beberapa daerah yang perlu dibantu.
“Ini tidak termasuk beberapa langkah lain seperti bantuan sekolah daif serta bantuan klinik daif di Kedah.
“Baru-baru ini ketika saya pergi ke China, ada cadangan untuk meningkatkan pelaburan di Kulim Hi Tech Park,” katanya ketika berucap pada Majlis Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, pihaknya memberi jaminan akan memastikan kerjasama penuh diberikan untuk mempercepatkan proses tersebut.
“Insya-ALLAH dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), ia akan dapat memacu pertumbuhan yang lebih bermakna di negeri Kedah.
“Terdapat juga beberapa peruntukan permohonan lain yang akan diberikan pertimbangan, seperti mana yang pernah saya sebut dulu sama ada kerajaan itu kerajaan yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan atau tidak, tanggungjawab memelihara rakyat akan diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar percaya negara Madani akan terus cemerlang sekiranya kerajaan dapat mengurus negara dengan baik, selain menolak amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Kita akan gunakan seluruh kekuatan jentera untuk menjaga kebajikan rakyat dan keharmonian semua kaum,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang ramai serbu Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Kedah berangkat ke Rumah Terbuka Malaysia Madani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!